25 January 2022

TOMOK AKUI TIADA NIAT BUAT KECOH ISU BAYARAN ROYALTI SIKIT



"Itulah realiti yang kami sebagai anak seni perlu hadapi walaupun memang tak masuk akal pun jumlahnya. Disebabkan hal itu, saya sentiasa mengingatkan diri sendiri agar sentiasa membuat simpanan dan tidak membazir untuk perkara lain," ujar penyanyi Tomok yang berasa sedikit ralat terhadap jumlah bayaran royalti yang dirasakan tidak setimpal dengan hasil kerja.

Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, 36, memberitahu jumlah bayaran royalti yang rendah merupakan realiti yang perlu dihadapi oleh penggiat seni tanah air khususnya kepada komposer, penulis lirik dan penyanyi.

Dek kerana itu, Tomok yang juga seorang pelakon itu menasihatkan anak seni agar memiliki simpanan dan berhemah dalam berbelanja.

"Nasihat saya, perlu simpan duit. Saya juga pernah berseronok satu ketika dulu tetapi perlu tahu bila waktu yang seharusnya menarik 'hand break' (tidak membazir)," pesannya.

Tiada niat untuk membuat kecoh atau menularkan isu tersebut, anggota kumpulan New Boyz itu menjelaskan perkongsiannya dalam satu hantaran Instagram baru-baru ini sebagai peringatan untuk semua pihak khususnya penggiat seni tanah air.

Klik untuk gambar besar



Kata bekas peserta program One In a Million itu, kehidupan sebagai seorang penggiat seni juga tidak semuanya indah seperti yang dipaparkan kepada umum.

"Bukan semua yang indah dalam industri seni ini, sebenarnya ada sahaja waktu kehidupan yang sukar. Tidak terlintas pun dalam hati nak buat kecoh atau viralkan isu tersebut tetapi itulah realiti yang saya perlu beritahu kepada semua," katanya lagi.

Terdahulu, pada 12 Januari lalu, Tomok memuat naik sekeping foto memaparkan penyata bank bayaran royalti sebagai seorang komposer yang diterimanya iaitu berjumlah RM19.60 bagi tahun 2013 sehingga 2020.

"Pahit untuk ditelan tetapi tidak mengapa, terus pandang ke depan," tulisnya menerusi laman Instagram miliknya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: