26 January 2022

VIDEO JADI PAK IMAM VIRAL - ALIFF AZIZ AKUI SEGAN, AMAL SELAWAT 1,000 KALI SEHARI



"Saya rasa segan apabila video itu diperkatakan. Benar ia satu benda yang positif, namun saya bimbang jika ia mengganggu niat baik. Saya harapkan ia menjadi amal jariah yang boleh saya kongsikan kepada semua," jelas juara Gegar Vaganza musim kelapan (GV8), Aliff Aziz ketika diminta mengulas video viral memperlihatkan dia sedang mengimamkan solat di bilik persalinan sebelum konsert berlangsung.

Aliff yang mengakui segan itu tidak mahu perkara itu menganggu niat baiknya untuk berhijrah. Dalam pada itu, Aliff turut berkongsi yang dia mengamalkan amalan berselawat sebanyak 1,000 kali sehari dan ia menjadi rahsia penyanyi Aliff Aziz mengatasi masalah gemuruh ketika berentap di pentas akhir GV8, Ahad lalu.

Aliff atau nama sebenarnya Mohamad Aliff Aziz, 31, berkata, dengan amalan itu dia berasa lebih tenang dan yakin ketika membuat persembahan.

"Sebenarnya ini adalah pesanan dari kawan-kawan supaya amalkan selawat selalu. Saya cuba habis selawat sebanyak 1,000 kali sehari, ini saya amalkan sebelum naik ke pentas. Mungkin nampak susah, tetapi apabila selalu diamalkan ia akan jadi biasa," cerita Aliff.

Klik untuk gambar besar



Bercerita tentang perancangan kerjaya seni, Aliff berkata, dia sudah bersedia dan tidak akan mensia-siakan peluang kedua yang diberikan kepadanya. Bagaimanapun, kata Aliff dia mahu manfaatkan peluang ini dengan menyebarkan kebaikan dan dakwah.

"Saya sudah berehat lama. Dengan apa yang berlaku kepada saya sebelum ini, tahun 2019 adalah waktu kegelapan saya. Sekarang saya kembali dan mahu gunakan masa ini sebaik mungkin untuk bekerja.

"Kemenangan ini bukan sebab saya hebat. Ini adalah susunan Tuhan. Kalau boleh saya mahu gunakan kemahsyuran yang dipinjamkan ini untuk sebarkan kebaikan," katanya.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: