27 February 2022

TIA JINBARA & ISTERI TURUT DIJANGKITI C0V1D



"Assalamualaikum. Allah beri sedikit ujian buat kami. Tetapi, saya bersyukur isteri tidak mengalami gejala serius. Cuma, saya sahaja mengalami demam dan batuk disebabkan asma.


"Anak-anak semua negatif. Syukur kepada Allah," demikian tulis bekas vokalis kumpulan Jinbara, Tia mengesahkan dia dan isteri, Suzan Ahmad positif C0V1D selepas melakukan ujian menerusi kaedah Rapid Test Kit (RTK) menunjukkan keputusan positif, semalam.

Berkongsi berita duka menerusi laman Instagram (IG), Tia atau nama sebenarnya, Shamsul Bakhtiar Zakaria, 51 menyifatkan musibah yang diterima sebagai satu ujian buatnya.

Finalis program realiti, Gegar Vaganza musim keempat itu memaklumkan, dia dan Suzan kini sedang menjalani kuarantin kendiri, jadi, segala urusan perniagaan agak terbatas. Namun, katanya, pelanggan tidak perlu gusar kerana urusan penghantaran barang yang ditempah awal tetap dilaksanakan.

Klik untuk gambar besar



"Kami sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah dan tidak boleh bergerak ke mana-mana. Jadi, urusan bisnes agak terhad. Kepada mereka yang sudah membuat tempahan awal, kami akan minta tolong kepada mana-mana pihak untuk urusan penghantaran.

"Bagaimanapun, kami terpaksa menghentikan untuk kaedah 'Cash On Delivery' buat sementara sehingga tempoh kuarantin kendiri selesai. Maafkan kami. Semoga Allah beri kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan kita semua," kata Tia yang mengusahakan perniagaan acar buah dan sambal hitam nanas.

Sementara itu, menerusi ruangan komen ramai rakan artis mendoakan semoga pasangan itu segera sembuh. Antaranya, Datuk Aishah, Haiza, Shamsul Ghau Ghau, Datin Salwa Abdul Rahman dan Sharifah Zarina.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: