23 February 2022

USAHA CARI DANA RM30,000 BERTANDING DI AS DIPERTIKAI - ASHIRA TERKILAN KESEMPITAN HIDUP DIKAITKAN



Nampaknya perasaan teruja penyanyi Ashira yang bakal mewakili Malaysia di Champianship of Performing Arts (WCOPA) itu terbantut apabila usahanya untuk mengumpul dana telah dipertikaikan segelintir pihak.


Kata mereka, tindakan Ashira mencari dana berjumlah RM30,000 untuk persiapan dan perbelanjaan ke Amerika Syarikat itu dianggap netizen sebagai buang masa. Malah, segelintir netizen mencadangkan agar penyanyi itu menggunakan dana berkenaan untuk menampung kehidupan sehariannya yang kini berdepan kesukaran hidup.

Bagaimanapun Ashira atau nama sebenarnya Sharifah Nur Ashira Syed Abdul Aziz, 37, menjelaskan kenyataannya sebelum ini bagi mencari dana itu telah disalah tafsir netizen.

Isteri kepada penyanyi Bad Indigo ini berkata, dia tidak mengharapkan sumbangan orang ramai sebaliknya memohon dana daripada persatuan atau badan korporat yang sudi menaja perbelanjaannya.

Klik untuk gambar besar



"Orang mudah salah faham dan buat cerita tanpa tahu perkara sebenar. Takkan saya nak minta duit daripada orang ramai. Saya dan juga beberapa wakil Malaysia lain cuba untuk memohon dana daripada mana-mana persatuan atau badan untuk menampung kos ke sana.

"Dana tersebut bukanlah untuk perbelanjaan saya shopping, tetapi akan digunakan untuk bayaran menyertai WCOPA, tiket penerbangan dan penginapan di sana," ujarnya.

Pada Isnin lalu, Ashira memaklumkan terpilih mewakili Malaysia ke pertandingan bertaraf dunia WCOPA di Amerika Syarikat pada Julai depan. Dalam pada itu, Ashira juga terkilan apabila sesetengah pihak turut mengaitkan usaha itu dengan kesempitan hidup dalam rumah tangganya.


Selain Ashira, penyanyi lain yang akan bertanding bagi kategori senior vocal adalah Pija Mentor, Thalia Rasul dan Erul Samah. Bagi Ashira, kisah peribadi yang dilaluinya tidak perlu dipersoalkan dan cukuplah hanya dia sahaja yang menanggung susah atau senang hidup berkeluarga.

"Saya baca komen yang bercakap tentang kisah rumah tangga saya. Memang rasa sedih. Bagaimanapun tak perlulah saya bercerita lanjut. Mereka tidak rasa apa yang saya lalui selama ini. Hal berkaitan keluarga adalah kisah peribadi dan biarlah saya simpan sendiri," jelasnya.

Bercerita lanjut tentang usaha mengumpul dana ke AS, Ashira memberitahu belum mendapat sebarang maklum balas meskipun sudah menghantar beberapa permohonan. Kata Ashira dia memerlukan dana secukupnya sebelum akhir Mac ini bagi pengesahan tempat di WCOPA.

"Saya bersama peserta lain perlu menghantar segala dokumen sebelum hujung Mac ini. Jika tiada rezeki dan gagal mengumpul dana secukupnya saya reda tidak berpeluang ke sana walau dalam hati sangat mahukan peluang ini. Saya sentiasa berfikiran kalau betul ada rezeki ke sana, segala urusan akan dipermudahkan," tuturnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: