Penyanyi dan komposer Zul 2 By 2 atau nama sebenarnya Zulkifli Majid, 50, telah pun selamat bernikah buat kali kedua semalam. Zul memilih penyanyi juga bekas anggota kumpulan The Girls iaitu Intan Maya, 39, sebagai pasangan hidupnya selepas bercerai dengan penyanyi Ismaliza Ismail atau Isma AF7 pada 2018.
"Alhamdulillah...apa yang dirancang akhirnya jadi kenyataan apabila saya selamat bernikah dengan Intan Maya. Kami sah bergelar suami isteri pada jam 10 pagi di masjid Taming Jaya, Balakong. Tarikh istimewa ini dipilih oleh saya sebagai kenangan buat kami berdua. Bukan saja tarikh, malah wang hantaran diberikan kepada isteri juga berjumlah RM22,222,22," katanya.
Difahamkan, Zul mula mengenali Intan Maya secara dekat pada majlis berbuka puasa April, tahun lalu dan mereka kemudian bertunang pada Jun. Sebelum itu, kedua-duanya hanya kenal sebagai rakan artis.
Menerusi perkahwinannya dengan Isma, Zul telah dikurniakan lima orang anak. Bagi Intan pula, dia mempunyai empat orang anak hasil perkahwinan terdahulu.
Klik untuk gambar besar
Kata Intan, dia hampir tewas dengan ujian yang dilalui beberapa hari menjelang pernikahan mereka. Tambahnya, Zul juga pernah melahirkan rasa bimbang sekiranya dia bertindak membatalkan perkahwinan mereka dengan apa yang berlaku.
"Banyak juga dugaan antaranya penyediaan dokumen kahwin yang terlalu ketat, sampaikan terfikir nak batalkan saja. Tapi, bila dah selesai akad nikah, kami rasa seperti terlepas satu ujian yang sangat berat.
"Dugaan lain pula ialah adik saya dari Johor nak datang ke sini bawa kek kahwin, namun malangnya kereta rosak hingga kek cair. Dia menangis kerana tak dapat bersama saya.
"Jurusolek pula positif C0V1D dan akhirnya saya terpaksa bersiap sendiri. Tiga anak abang Zul juga positif dan hanya seorang yang dapat hadir. Banyak sangat tekanan yang dilalui. Sebenarnya tempat kami nak bersanding pula kena ribut yang berlaku sebelum ini.
"Dalam hujan lebat saya berdoa kepada Allah agar permudahkan mana yang tak kena. Jika betul ada jodohku, kau permudahkanlah. Rupanya abang Zul pun berdoa yang sama. Saya suruh dia berdoa ketika hujan dan akhirnya satu demi satu urusan dipermudahkan," jelasnya.
Zul dan Intan yang pernah menyanyi duet lagu 'Tugu Cinta' itu belum merancang bulan madu atau mempunyai anak kerana mahu fokus pada rakaman lagu Hari Raya bersama Sheeda dangdut, Wan Scoin dan Sam Suhaid selepas ini.
________________________
No comments:
Post a Comment