02 March 2022

AVAA VANJA AKUI PERCERAIAN BUKAN MUDAH, TAPI JALAN TERBAIK BUATNYA



"Sejujurnya, perceraian bukan satu proses yang mudah terutama kalau memang sudah tiada persefahaman. Ada wanita yang hidup terkontang-kanting dan teraniaya sebab nak bercerai. Ada antara mereka yang ada bukti kukuh (nak bercerai) tapi tiada duit, tiada peguam dan sebagainya.


"Saya bersyukur urusan dipermudahkan sebab kita tahu hukum hakam Islam. Kalau benar memang dah tiada persefahaman, biarkan mahkamah yang buat keputusan sebab agama kita ada undang-undang," ujar pelakon Avaa Vanja yang menyifatkan perceraian adalah jalan terbaik buat dirinya meskipun proses yang perlu dilalui cukup rumit.

Avaa atau nama sebenarnya Avaa Vanja Mohamad Ramli berkata, hampir 11 tahun melayari bahtera perkahwinan dengan bekas suami, Aamil Sulaiman, dia akui banyak hal yang terjadi dan membuatkannya merana.

Menurut Avaa, dia kini mahu membina kehidupan baharu bersama anaknya selepas 11 tahun berkongsi hidup dengan bekas suami yang tidak menghargai kehadirannya. Tambahnya, sejak mendirikan rumah tangga, dia terpaksa mengorbankan kerjaya dicintai.

Klik untuk gambar besar



"Hubungan macam tiada makna bermula sejak kes polis yang saya dedahkan sebelum ini. Saya buat keputusan bahawa adalah tak baik untuk anak membesar dengan hubungan seperti ini.

"Untuk dia (anak) lihat benda yang tak bagus, saya berkeras kepada diri cakap sudah sampai waktu untuk bertegas sebab saya pun bukannya muda lagi. Biarpun saya tidak bertudung tapi saya masih ingat Allah SWT. Itu yang menguatkan saya dan mendorong untuk bertindak serta melakukan sesuatu.

"Lima tahun pertama perkahwinan, memang susah. Dia (bekas suami) belajar di luar negara lebih kurang tiga tahun. Saya jaga diri sendiri, hamil dan bersalin pun sendiri. Anak umur dua tahun setengah baru dia ada di sini (Malaysia). Tinggal rumah sebumbung, macam alamak, dua budaya yang berbeza.



"Saya jenis fleksibel dan suka ikut rentak tapi lama-kelamaan tahap kesabaran dah memuncak. Selama 11 tahun bertahan, tahap kesabaran memang sangat tinggi. Dah meletup, dan kemudian saya fikir, sudah sampai waktu buat keputusan.

"Nasihat saya buat golongan wanita di luar sana, kalau rasa macam ada salah (dalam perkahwinan), pergilah dapatkan pendapat dan bantuan. Kita golongan wanita ini ada hak sendiri," katanya.

Terdahulu, Avaa yang menfailkan tuntutan fasakh dan hadhanah (hak penjagaan anak) pada Disember tahun lalu dan akhirnya bercerai talak satu dengan Aamil yang juga seorang pemuzik.

Ketika itu, Avaa diberikan hak penjagaan sementara buat satu-satunya cahaya mata tunggal mereka, Merlissa, 10. Pada Oktober tahun lalu, Avaa juga ada membuat laporan polis mendakwa dirinya dan anak berdepan penderaan domestik.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: