02 March 2022

BERPELUANG TUNAI UMRAH DI BULAN RAMADAN - BELL NGASRI TERHARU & MENANGIS GEMBIRA



"Kali pertama saya pergi pada 2008. Ketika itu saya hanya dapat berpuasa selama beberapa hari di sana sebelum pulang ke tanah air. Untuk kali ini, saya akan berada di sana pada 10 hari terakhir Ramadan yang juga merangkumi malam Lailatul Qadar.


"Kalau ada rezeki memang cantiklah kerana semestinya kita akan beribadah pada malam itu," demikian kata pelakon dan pelawak, Bell Ngasri yang terharu dan menangis gembira sebaik ditawarkan untuk mengerjakan umrah pada Ramadan nanti.

Bell atau nama sebenarnya Nasrizal Ngasri berkata, jika semuanya berjalan lancar, ia kali kedua dia mengerjakan umrah. Menurutnya, dia memang sudah lama berniat untuk ke Makkah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

"Saya memang teringin sangat. Saya berniat sekiranya dibenarkan rentas negara, tempat pertama yang saya nak pergi adalah Makkah. Alhamdulillah, tak sangka tiba-tiba dapat pula tawaran daripada syarikat Syabibah Travel & Tours. Kali ini saya akan bawa isteri bersama memandangkan dia kali pertama akan pergi. Nasib baik syarikat ini sudi taja isteri," jelasnya.

Selain Bell, beberapa artis lain yang terpilih untuk pergi mengerjakan umrah bersama syarikat terbabit adalah Zulin Aziz dan Saharul Ridzwan. Mengulas lanjut peluang yang diperoleh, Bell berkata, ia bermula apabila terbabit dengan program televisyen bersama Faizal Ismail (FBI).

"Faizal yang juga Pengurus Promosi syarikat terbabit menawarkan saya untuk mengerjakan umrah yang turut disertai beberapa artis lain. Tak dinafikan agak risau juga nak pergi apabila kes Covid-19 semakin bertambah. Namun saya pergi dengan tujuan baik dan urusan bermanfaat. Semoga urusan kami semua dipermudahkan dan diberkati serta selamat," tuturnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: