26 March 2022

BILA WAJAH AINA ABDUL PULA TERPAPAR DI TIMES SQUARE, NEW YORK



"Still finding words to describe this precious moment! Thank you team who made it possible with me! To be on board with some of the best female musicians for the EQUAL campaign still feels surreal to me! To another milestone!


"Thank you to my Ainations who made this experience real and exciting each and everyday! 💚," demikian tulis penyanyi Aina Abdul apabila wajahnya menghiasi papan iklan digital gergasi di Times Square, New York, Amerika Syarikat (AS).

Aina atau nama sebenarnya Nur Aina Abdul Ghani, 28, berkata, dia dipilih bagi menjayakan kempen EQUAL oleh wadah penstriman digital, Spotify itu dan menyifatkan ia perkara yang membanggakan. Menurut Aina, pemilihannya itu adalah pendedahan yang baik untuk dia dan muziknya dikenali di sekitar dunia.

"Kejayaan ini adalah berikutan kerjasama bersama syarikat pengedaran saya, Believe Music. Mungkin ada yang tahu dan mungkin ada yang tak tahu, saya bekerjasama dengan Believe Music untuk mengeluarkan lagu-lagu saya.

Klik untuk gambar besar



"Dari lagu Reminiscing, Shadow, semuanya diedarkan oleh Believe Music. Jadi bersama Believe Music, saya pun turut terpanggil untuk membabitkan diri menerusi kempen Equal. Saya dipanggil untuk isi borang dan sebagainya.

"Alhamdulillah, akhirnya saya dipilih bulan ini sebagai salah seorang duta untuk kempen Spotify. Jadi saya sangat bersyukur sebab berasakan kempen ini, sangat baik kerana ia dapat mengetengahkan bakat wanita di dalam bidang muzik terutama dari Asia.

"Pendedahan ini baik untuk kami dikenali di sekitar dunia. Walaupun ia hanya sebulan, tapi saya berasakan peluang ini adalah peluang yang susah nak dapat.



"Terima kasih Believe Music. Terima kasih juga kepada Spotify kerana memilih saya. Dan juga kepada Ainations, kerana sebab merekalah jumlah penstriman lagu saya di Spotify nampak cantik. Terima kasih Ainations juga sebab selalu mendengar muzik-muzik saya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Aina baharu muncul dengan lagu kerohanian berjudul CahayaMu, Jumaat lalu: "Saya terpanggil untuk menulis dan mengeluarkan lagu ketuhanan ini sebab saya sangat sukakan lagu genre sebegini, di mana saya menjadikan penyanyi seperti Opick, Maher Zain dan Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai idola.

"Muzik mereka memberikan inspirasi pada saya untuk menulis lagu seperti ini. Dan selepas mendengar penyanyi lain mengeluarkan lagu ketuhanan, saya fikir mengapa saya tidak menulis lagu yang ditujukan khas kepada Allah SWT. Jadi saya mahu tulis satu lagu yang kena dengan jiwa saya. Jadi apa yang didengari menerusi lagu ini adalah luahan hati saya," ujarnya.


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: