03 April 2022

"ITU BUKAN SAYA, DIA ADALAH PRINCESS IQY DINZLY..." - IQRAM DINZLY MAHU UJI & BERI TEGURAN PADA NETIZEN



Baru-baru ini tular sebuah video yang memaparkan individu mirip pelakon Iqram Dinzly dimana dia memakai pakaian tidur wanita yang seksi dengan berlatar muzik alunan selawat. Video itu tular di TikTok dan mendapat pelbagai komen daripada netizen termasuk kecaman daripada netizen kerana dianggap mempersendakan agama.


Mengulas mengenai video tersebut, Iqram menafikan itu dirinya sebaliknya berkata itu adalah ''kembarnya'. Iqram ketika dihubungi berkata, karakter itu dikenali sebagai Princess Iqy Dinzly dan tujuannya adalah untuk menyentuh hati netizen agar membuat pilihan sama ada mahu berselawat atau menyaksikan perkara maksiat.

"Itu bukan saya. Dia adalah Princess Iqy Dinzly. Dia berikan pilihan sama ada nak selawat atau nak saksikan 'pelacur-pelacur bilik kaca' dan 'penari tiang dalam bilik kaca'," ujar Iqram yang dipetik sebagai berkata kepada Harian Metro.

Tambah Iqram, apa yang dipaparkan di akaun TikTok @iqramdinzlycious dalam video secara langsung itu juga adalah satu bentuk teguran kepada golongan transgender yang disifatkan sebagai semakin berani.

"Satu lagi, kaum transgender semakin berleluasa dan semakin berani di media sosial. Itu satu teguran juga. Selain itu, ia juga teguran untuk wanita-wanita bertudung yang umpama berbogel dengan pakaian yang ketat," katanya.

Iqram juga menyeru semua pihak supaya memadam hantaran-hantaran yang tidak senonoh di media sosial dan mengambil keberkatan dengan kehadiran bulan Ramadan kali ini.

"Saya tak boleh nak cakap sebab saya tak pandai langsung menggunakan media sosial. Apa pun, ambillah kesempatan dengan kehadiran bulan Ramadan. Tolonglah pada gambar-gambar yang menunjukkan punggung dan payudara semua terutamanya golongan pempengaruh.

"Kandungan-kandungan sebegini boleh menjurus ke arah yang tidak bermoral antaranya berlaku jenayah rogol dan sebagainya. Jangan sampai rogol itu menjadi perkara biasa di Malaysia," tuturnya.

Iqram yang kini menjalani penggambaran drama berjudul 'Cinta Hilang Kata', berganding dengan pelakon Sophia Albarakbah itu berkata sekiranya netizen ingin melihat diri Iqram yang sebenar, nantikan drama terbaharu lakonannya yang akan ditayang tidak lama lagi.

"Sekarang, kalau nak tengok Iqram Dinzly yang betul, tengok drama Mem dan Bibik Bibik yang akan ditayangkan di TV3 bermula esok. Selepas itu, ada beberapa drama lain lagi antaranya Dilema Wanita dan satu lagi drama arahan pengarah Erma Fatima," katanya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: