12 April 2022

JAMAL DAKWA DIHALANG BEKAS ISTERI JUMPA ANAK - ZAKI TAMPIL NAFI: "TIADA SIAPA TAK BAGI, BABA SENDIRI TAK NAK JUMPA"



"Baba yang tak nak jumpa Zaki, apa pula nak salahkan mummy Zaki. Cukuplah baba buat cerita macam-macam. Benda tak betul semua tu. Tiada siapa yang tak bagi, ayah sendiri yang tak nak jumpa anak. Kepada baba, Zaki harap berhenti burukkan mummy sebab selama ini kalau Zaki sakit dia yang ada jaga.


"Baba boleh je nak jumpa Zaki, baba janji nak jumpa tapi tak datang. Zaki whatsApps baba tak balas, call pun tak jawab," itulah kata Zaki Yamani, 16, yang tampil menafikan dakwaan bapanya, penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah.

Zaki menegaskan tidak ada mana-mana pihak termasuk ibunya bertindak menghalang mereka untuk bertemu. Dalam pada itu, Zaki meminta bapanya itu berhenti memburukkan ibunya yang selama ini sentiasa berada di sisinya.

Klik untuk gambar besar



Pengakuan Zaki itu dilihat bercanggah dengan kenyataan Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Mohd Ali bahawa bekas isterinya iaitu Fatimatuzahra Samad menjadi penghalang ikatan kasih antara dia dan anaknya.

Jamal mendakwa dia dihalang bertemu dengan anaknya itu oleh bekas isteri selepas mereka berpisah. Tambah Jamal, dia ada bertemu Zaki di rumah seorang kawan pada sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun lalu dan menganggap pertemuan selama setengah jam itu penuh bermakna.

"Hubungan saya dan anak okay saja. Cuma dihalang untuk berjumpa. Beberapa tahun lalu, ada la curi-curi jumpa di sekolah di Kajang. Waktu itu sempena majlis hari guru di sekolah itu dan saya dijemput hadir kerana anak saya menyanyi... waktu itu anak saya di tingkatan satu.



"Tapi ibunya tak benarkan dia ke sekolah sekiranya saya hadir... jadi saya terpaksa akur. Tapi saya tetap curi-curi jumpa sebab nak sampaikan duit bulanan pada Zaki. Jadi dapatlah saya curi-curi jumpa dia. Hari raya tahun lalu pun ada jumpa. Itu pun di rumah salah seorang sahabat. Setengah jam perjumpaan itu bagi saya seribu rahmat," tuturnya.

Penyanyi berusia 63 tahun itu diminta mengulas mengenai kenyataan Zaki yang meluahkan rasa rindu untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersamanya. Zaki dalam masa sama turut mendedahkan kali terakhir dia menyambut lebaran bersama bapanya sekitar lapan tahun lalu. Katanya lagi, dia memahami bapanya kini sudah mempunyai kehidupan dan keluarga baharu selain enggan mengharapkan hubungan mereka kembali seperti dahulu.

Sementara itu, penyanyi lagu 'Kekasih Awal Dan Akhir' ini mendedahkan cermin mata yang dipakai Zaki dalam foto yang tular itu merupakan pemberiannya: "Dalam gambar yang tersebar itu, saya notis cermin mata yang dipakai itu adalah pemberian saya kepada Zaki pada malam tu," ujarnya.



Ditanya mengenai kemelut dengan bekas isteri, Jamal memilih untuk tidak memperbesarkan perkara itu kerana menganggap dia mampu menguruskannya dengan baik: "Perkara ini tak perlu diperbesarkan... semua akan saya handle dengan baik, Insya-Allah," tutur Jamal.

Untuk makluman, Zaki adalah anak daripada hasil perkahwinan Jamal dengan Fatimatuzahra Samad. Selain Zaki, Jamal turut mempunyai anak lelaki bernama Osama Yamani hasil perkahwinan dengan Intan Noraina Mohd Yusof.

Pada 1 April 2017, Jamal berkahwin dengan Zai Izzati Khiruddin dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Nur Azura Yamani, 3, El Isaac Yamani, 2 dan Iskandar Rayyan Yamani yang baru dilahirkan Februari lalu.




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: