15 April 2022

PERNAH DIANGGAP LESBIAN DEK BELUM BERKAHWIN DIUSIA 38 - FARAHDHIYA LEBIH RELA KAHWIN DUDA BERBANDING SUAMI ORANG



"Saya masih straight (menyukai lelaki) okay. Saya cakap begitu sebab seseorang pernah tanya saya sama ada saya lesbian atau tidak sebab tidak kahwin-kahwin lagi," kata pelakon dan penyanyi Farahdhiya yang mendedahkan dia pernah dianggap seorang lesbian (menyukai sesama jantina) oleh seseorang disebabkan masih belum berkahwin pada usia 38 tahun.


Sering diusik dek kerana statusnya yang sehingga kini masih belum mempunyai peneman (suami), Farahdhiya atau nama penuhnya Farahdhiya Mohd. Amin berkata, bukan kerana tidak mahu berkahwin, tetapi dia sering didekati lelaki yang rata-rata berstatus suami orang.

"Macam mana saya hendak berkahwin kalau lelaki yang mendekati saya 90 peratus adalah suami orang. Saya bukan cakap besar, cuma saya memang tidak mahu dan akan tolak awal-awal.

"Itulah masalah utama kenapa saya masih belum berkahwin sehingga sekarang. 90 peratus yang datang dekat saya itulah orangnya (suami orang). Saya tidak mahu cakap besar. Cuma saya ada pilihan iaitu tidak mahu berkahwin dengan suami orang (jadi isteri kedua)," katanya.

Klik untuk gambar besar



Ujar pelantun lagu 'Bertakhta Di Hati' itu lagi, walaupun pernah berkawan rapat dengan lelaki berstatus suami orang, selama itu jugalah dia berjaya menolak lamaran mereka untuk mengahwininya.

Kata Farahdhiya, dia memegang pada prinsip seboleh-bolehnya enggan berkahwin dengan suami orang dan lebih rela berkahwin dengan lelaki berstatus duda: "Saya mahu berkahwin, tapi bukan dengan suami orang. Saya lebih rela berkahwin dengan duda," ujarnya.

Dalam pada itu, wanita kacukan Melayu-Inggeris itu mengakui pernah bercinta dengan beberapa orang lelaki sebelum ini, namun tidak berakhir sehingga ke jinjang pelamin.



"Saya pernah bercinta, cuma saya berahsia. Tidak perlu saya uar-uarkan perkara yang belum pasti. Walaupun saya berdarah campuran Inggeris, saya tetap ada rasa malu. Saya pernah mengenali beberapa orang lelaki sebelum ini, namun tidak menjadi," tuturnya.

Pada masa sama, Farahdhiya juga mengakui sedikit tertekan apabila memikirkan soal cahaya mata lebih-lebih lagi ketika usianya yang kini sudah pun mencecah 38 tahun.

"Soal berkahwin (suami) saya tidak terlalu tertekan sebenarnya. Apa yang membuatkan saya tertekan jika memikirkan soal anak. Usia saya pun sudah mencecah 38 tahun. Kalau berkahwin nanti dapat seorang dua cahaya mata pun dah cukup. Saya tidaklah meronta-ronta mahukan suami, cuma jodoh belum 'timbul' lagi," jelasnya.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: