15 April 2022

SEMUA JARI KAKI KIRI DIPOTONG - BAD INDIGO AKUI GUNA 'WALKER' BERI TEKANAN PADA KAKI KANAN



"Mulanya jari kecil dulu kena potong. Kemudian tiga jari lagi selepas sebulan dan terakhir ibu jari pada September tahun lalu. Sekarang semua jari kaki kiri sudah tidak ada. Disebabkan itu, ia membataskan pergerakan saya dan perlu menggunakan 'walker' yang turut berfungsi seperti kerusi roda.


"Sejak itu pergerakan saya sangat terbatas dan memenatkan apabila bergerak. Ini kerana saya banyak menggunakan kaki kanan untuk menampung badan. Sekarang lutut kanan saya pun sudah sakit.

"Saya seperti akan menggunakan kerusi roda juga nanti sebab kaki ini banyak tekanan hingga mengakibatkan luka selalu terbuka," demikian jelas penyanyi Bad Indigo yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) selepas menjalani prosedur memotong semua jari kaki kiri akibat diabetis sejak Mac tahun lalu.

Bad atau nama sebenarnya Badrul Izhan Yeop Abdullah, 47, kini terpaksa menggunakan 'walker' sebagai alat bantuan untuk berjalan sejak Oktober tahun lalu. Bad yang juga suami kepada penyanyi Ashira Aziz berkata, dia perlu membersihkan luka di kaki atau 'dressing' selang sehari.

Klik untuk gambar besar



"Apa yang menjadi masalah sekarang apabila banyak juga tempat yang tidak mesra OKU. Jadi susah untuk saya bergerak. Namun, susah macam mana pun, apa yang penting kena senyum. Ini kerana Allah Maha Adil, jadi ada yang lebih baik untuk saya, Insya-Allah," katanya.

Dalam masa sama, Bad berkongsi dia ada mendapat bantuan daripada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi program Jalinan Kasih, baru-baru ini.

"Bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) belum dapat lagi sebab saya belum lengkapkan borang. Alhamdulillah, baru-baru ini dapat sumbangan daripada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)," ujarnya.

Terdahulu, Bad dilaporkan memohon status OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat selepas menjalani beberapa prosedur memotong jari kaki kiri.







         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: