20 April 2022

TUDUHAN LARI BAYAR HUTANG - MAWAR KARIM AKUI EMOSI TERGANGGU, BIMBANG KESELAMATAN ANAK



"Saya hanya dapat tahu tentang kes ini melalui perkongsian di sosial media. Pertama kali, tentunya emosi saya terganggu memandangkan orang sekeliling ada bertanya dan mempertikai selepas mereka dapat berita tersebut di media sosial. Saya tidak menerima sebarang surat rasmi daripada pihak mereka.


"Sebagai usahawan, saya perlu memikirkan juga soal keselamatan anak dan keluarga. Begitu juga terhadap bisnes, pembekal dan reputasi perniagaan saya yang terjejas. Sebab bagi saya dalam berbisnes, kepercayaan itu penting.

"Apabila timbul isu begini, ia akan mengundang persoalan dan menjejaskan perniagaan saya selain mungkin ada yang beranggapan, saya tidak boleh dipercayai," demikian kata usahawan Mawar Abdul Karim yang mengakui emosinya terganggu berhubung dakwaan ingkar perjanjian dan tidak membayar wang pinjaman bernilai RM720,000 daripada seorang rakan sekali gus berdepan dengan tindakan pengisytiharan bankrap.

Menurut Mawar, dia terkejut dengan dakwaan yang disebarkan di media sosial sekaligus tampil untuk membuat penjelasan. Pada masa sama, Mawar turut menegaskan, dia tidak mempunyai sebarang hutang dan masalah kewangan termasuk tidak mengenali plaintif.

Klik untuk gambar besar



"Saya tiada hutang dan saya tidak mengenali plaintif. Setakat ini, saya tiada masalah kewangan. Saya sekali lagi menegaskan dakwaan itu tidak tepat dan tidak pernah berurusan dengan individu terbabit. Saya tidak pernah berhutang dan syukur perniagaan yang saya jalankan masih stabil," jelasnya lagi.

Tambah Mawar, dia juga tidak mengetahui apa niat sebenar individu terbabit sehingga wujudnya isu sedemikian: "Saya pun tak pasti apa niat sebenar individu tersebut. Adakah ia punca daripada dengki atau cubaan mensabotaj saya dalam perniagaan," ujarnya.

Dalam pada itu, Mawar yang diwakili Peguambela dan peguamcara daripada Zabir Imran and Partners, Datuk Mohd Imran Tamrin dan Tentuan Azali & Co, Mohd Azali Ibrahim memaklumkan, sesi pendengaran permohonan untuk penggantungan pelaksanaan penghakiman ingkar kehadiran di mahkamah Sesyen di Bandar Baru Bangi akan didengari esok.



"Buat masa ini, kami fokus kepada permohonan ini terlebih dahulu sehingga permohonan tersebut didengar dan diputuskan oleh mahkamah. Sama ada Mawar akan membuat tuntutan balas atau tidak selepas ini, kami masih dalam proses untuk memberikan nasihat dengan sewajarnya kepada pihak anak guam kami," tuturnya.

Sementara itu, peguam mewakili Mawar berkata, pihaknya akan membuat permohonan mengetepikan dan melanjutkan perintah penghakiman ingkar seperti yang telah dikeluarkan.

"Mawar tidak jelas dengan tuntutan yang dibuat kerana dia menerima makluman dari kenyataan media plaintif dan bukan dari mahkamah. Kami akan buat permohonan untuk mengetepikan perintah ingkar dan penangguhan perintah tersebut seperti yang telah dikeluarkan oleh mahkamah," katanya.


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: