14 May 2022

DAKWA MEREKA SEARCH SEBENAR, NOORDIN MAHU 'ENJOY' BUKAN NAK LAWAN - DENDEN ENGGAN MASUK CAMPUR



Semua sedia maklum mengenai perpecahan yang berlaku dalam kumpulan Search dimana ia telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan peminat apabila wujud dua band berbeza namun menggunakan nama sama.


Pemain gitar Search, Noordin Taib akui dia tidak kisah sekiranya peminat memilih untuk menonton Konsert Search Endemik yang membariskan Amy (penyanyi), Hillary Ang (gitar), Man Kidal (gitar) dan Nasir (bass).

Noordin juga mengakui kurang menggunakan media sosial sejak kebelakangan ini bagi memberi tumpuan kepada persiapan Konsert Search Rockin' On Rooftop di bumbung Kompleks Campbell, Jalan Dang Wangi, di sini, pada 11 Jun ini.

"Tak apa itu pilihan peminat. Kami okay saja. Mereka nak pergi sana pun boleh dan nak datang sini pun boleh. Kami nak 'enjoy' bersama penonton. Kami bukan nak berlawan dan tak terfikir pun perkara itu.

"Tiada tekanan dan nak 'enjoy' semata-mata. Kami nak habiskan projek ini dan kemudian pergi kepada projek seterusnya. Persiapan kami sekarang pun dah 80 peratus. Kami nak sasarkan 150 peratus dan kalau boleh 200 peratus," katanya.

Konsert Search Rockin' On Rooftop akan menampilkan Noordin (gitar), Kid (gitar), Yan (bass), Minn (drum) dan Denden Gonjalez (penyanyi). Noordin turut memberitahu, pemilihan Denden juga ada pro dan kontra dalam kalangan peminat mereka.

Klik untuk gambar besar



"Ada yang suka dan tak kurang juga yang sebaliknya. Tapi kami ambil positif perkara ini dan terus berlatih untuk cari keserasian dengan Denden. Kami ada perancangan untuk menghasilkan single baharu yang sesuai dengan suaranya. Untuk konsert nanti, kami lebih menumpukan kepada lagu-lagu lama Search," ujarnya.

Dalam masa sama, Noordin turut mendakwa mereka adalah kumpulan Search yang 'original' (asal). Dia menegaskan barisan ahli yang dibentuk olehnya merupakan Search yang sebenar kerana tidak ada dalam kalangan mereka yang pernah mengumumkan pengunduran seperti dilakukan oleh vokalis terdahulu iaitu Amy.

"Selama ini, kami tak pernah keluarkan kenyataan mahu meninggalkan Search atau sebagainya. Jika ada kenyataan seumpama itu (dikeluarkan), boleh tunjukkan bukti. Kami tidak gentar. Kami berani kerana benar," katanya.

Sementara itu, Denden yang tampil buat kali pertama bertemu pihak media di sini berkata, dia sangat gembira berada di Malaysia: "Saya sebenarnya gementar dapat bersama Search yang saya minati sejak zaman kanak-kanak. Impian saya kini jadi kenyataan.

"Saya sekarang ikut acuan yang ditetapkan mereka. Namun mereka akan bagi masa untuk saya tonjolkan identiti sendiri selepas ini. Mudah-mudahan dengan adanya konsert ini, peminat boleh terima kehadiran saya dalam Search," katanya.


Denden yang diberi tanggungjawab selaku vokalis baharu mengakui bimbang jika kemunculannya sukar diterima peminat. Menyedari isu membabitkan kumpulan ini, Denden berkata dia enggan masuk campur dan hanya mahu memberi fokus untuk membuat persembahan terbaik.

"Amy telah menyanyikan lagu-lagu Search dengan baik dan saya sendiri mengidolakan beliau sejak kecil lagi. Pastinya kerisauan saya adalah peminat tidak menerima kemunculan dalam kumpulan ini.

"Saya tidak pernah ambil kisah tentang kontroversi Search yang berlaku sebelum ini kerana itu adalah urusan mereka terdahulu dan saya hanya mahu memberi fokus untuk membuat persembahan terbaik dalam konsert nanti," jelasnya.

Search bakal membawa antara 14 hingga 17 lagu termasuk yang jarang dan tidak pernah dimainkan dalam mana-mana konsert Search sebelum ini. Antaranya petikan lagu daripada album keenam Search iaitu Rampage yang diterbitkan pada 1992.

Konsert Search Rockin' On Rooftop juga bakal menampilkan Ratu Rock, Ella sebagai penyanyi undangan. Ella juga akan berduet dengan Denden.

Peminat masih boleh mendapatkan tiket berharga RM198 dan RM298. Tiket paling murah, RM88, bagaimanapun sudah habis dijual. Tiket boleh dibeli di Search Rock Station, Kompleks Campbell. Bagi pembelian dalam talian, layari laman web www.fenomenasearch.com.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: