11 May 2022

DIUJI DENGAN SAKIT - ALI XPDC BERSYUKUR RAMAI SUDI BANTUNYA



"Terima kasih tolong doakan kesihatan saya dan membantu menghulurkan sumbangan. Alhamdulillah, keadaan kesihatan saya ada menunjukkan sedikit perubahan dan makin baik. Bahkan, Allah dah berikan saya peluang bercakap semula. Walaupun masih tidak berapa lancar, tapi sekurang-kurangnya nikmat ada suara sudah kembali. Saya juga masih boleh menyanyi lagi," demikian kata penyanyi Ali XPDC, 53.


Sakit adalah ujian terbesar dalam hidup seseorang. Pun begitu, masih ada hikmah disebalik sakit berkenaan dan harus reda dengan dugaan daripada Allah itu. Bagi Ali, sakit yang dilaluinya kini adalah ujian atas izin Allah. Katanya, dia ikhlas dan tetap bersyukur kerana Allah masih memberikannya peluang kedua untuk hidup.

Ali yang kini perlu menjalani rawatan fisioterapi di Hospital Rehabilitasi Cheras, sekali seminggu berkata dia bersyukur apabila ramai orang sudi membantunya ketika diuji dengan sakit oleh Allah.

Dijaga dengan penuh kasih sayang oleh isteri tercinta, Sharifah Azwana Syed Joned, 50, penyanyi lagu 'Bunga Angkasa' ini berkata, dia sangat terhutang budi dengan pengorbanan besar dilakukan 'bidadari' syurganya itu.

Sementara itu, isteri Ali berkata sekarang tiba masa dia bersama anak-anak menjaga suaminya dengan baik sehingga pulih. Ujarnya, Ali juga pernah menjaganya dulu ketika mengalami alahan hamil yang teruk.

"Perkahwinan kami yang dah lebih 20 tahun ini dikurniakan lima cahaya mata. Tapi, dulu setiap kali saya hamil mesti kena alahan yang teruk sampai tak boleh bangun berbulan-bulan. Abang Ali yang menjaga saya.

"Alahan teruk kehamilan ini saya lalui untuk semua anak dan selama itu, dia (suami) yang sabar menjaga. Jadi, sekarang apabila dia sakit mestilah saya pula yang kena uruskannya. Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah yang beri saya kekuatan menjaga suami.

"Ketika abang Ali sakit dan dimasukkan ke hospital pada Mac lalu, memang saya risau kerana keadaannya agak kritikal. Tapi, syukur alhamdulillah Allah masih berikan peluang kehidupan kedua buat abang Ali," katanya.

Menurut Sharifah Azwana, kini dia berdoa agar suaminya terus kuat berjuang untuk kembali sihat semula. Baginya, tiada rasa penat pun apabila menjaga suami yang sakit dan mengharapkan pahala daripada Allah.

"Abang Ali selalu minta maaf kepada saya kerana dia dah susahkan saya dengan anak-anak. Dalam hal ini, ia ujian yang sudah tertulis buat kami sekeluarga menghadapinya. Saya reda dan ikhlas.

"Sakitnya abang Ali kerana izin Allah dan tiada siapapun antara kita yang nak sakit. Tapi, kita tak tahu apa pula hikmah yang Allah nak beri atas kesabaran melalui ujian ini. Saya selalu ingatkan abang Ali agar dia sentiasa positif," katanya.

Ujarnya, apapun dia mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang sudah membantu mendoakan kesihatan suaminya. Sharifah Azwana berkata, hanya Allah saja dapat membalas pada bantuan doa serta sumbangan dihulurkan banyak pihak membantu Ali.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: