22 May 2022

KEADAAN PENGARAH AZHARI ZAIN SEMAKIN MENUNJUKKAN PERKEMBANGAN POSITIF



Selepas lebih dua bulan ditahan di hospital kerana serangan angin ahmar, keadaan pengarah Azhari Zain semakin menunjukkan perkembangan positif sejak dibenarkan pulang ke rumah pada bulan lalu.


Menurut isterinya iaitu Wahizatul Nureen Azmi atau Nureen, Azhari kelihatan lebih bersemangat di rumah dan berharap kesihatannya akan pulih secepat mungkin.

"Alhamdulillah, nampak sangat perubahannya apabila berada di rumah. Mungkin juga disebabkan dia dapat melihat anak-anaknya dan keadaan seisi rumah. Nampaklah dia buat 'eye contact' dengan kami semua.

"Bagaimanapun, dia masih lagi perlu buat banyak rawatan termasuk akupuntur dan yang berkaitan menyembuhkan angin ahmar. Dia juga masih belum bergerak tapi harapnya dia mampu sembuh secepat mungkinlah," jelasnya.

Menurut Nureen, dia bersyukur apabila mereka masih dipermudahkan urusan meskipun sedikit terjejas sejak Azhari terkena serangan penyakit itu.

"Memanglah ada terjejas sedikit kerana suami pun ada kerja tetap sebagai pensyarah di samping mengarah secara sambilan. Saya pula memang suri rumah sepenuh masa. Kos rawatan pun masih kena tanggung tapi Alhamdulillah urusan keluarga masih terjaga," katanya.

Terdahulu, Azhari dilaporkan berada dalam keadaan kritikal akibat mengalami pendarahan di kepala serta kesukaran menggerakkan kedua-dua tangannya sekitar Februari lalu.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: