09 May 2022

NETIZEN TEGUR JANNA NICK PAKAI BAJU LONGGAR - PU SYED SOKONG BINA PUSAT TAHFIZ, PESAN JANGAN NILAI HALAL & HARAM REZEKI ARTIS



Semua sedia maklum mengenai pelakon dan pengacara Janna Nick yang baru-baru ini ada berkongsikan mengenai perancangannya untuk membina sebuah pusat tahfiz di Kampung Bukit Kechil, Simpor, Kedah.


Kata Janna, pusat tahfiz yang diberi nama Kompleks Tahfiz & Anak Yatim Nurul Jannah itu menelan kos kira-kira RM6 juta dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Menerusi hantaran di laman Instagram, Janna turut memuat naik video melawat tapak pembinaan pusat tahfiz berkenaan serta berdoa agar proses pembinaan berjalan dengan lancar.

Bagaimanapun, ada netizen kurang senang dengan cara pemakaian Janna yang dikatakan agak ketat serta tidak sesuai ketika lawatan berkenaan. Netizen itu memberikan teguran agar Janna melonggarkan sedikit pakaiannya itu bagi menghormati pelajar tahfiz.

Klik untuk gambar besar



Dalam pada itu, ramai juga yang mendoakan impian serta niat murni Janna untuk membina pusat tahfiz itu dipermudahkan.

Sementara itu, niat baik Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, 27, untuk membina sebuah pusat tahfiz dan anak yatim mengundang pertikaian dalam kalangan netizen.

Mereka mempertikaikan sama ada boleh atau tidak Janna meneruskan niatnya itu dengan menggunakan duit hasil titik peluhnya sebagai anak seni.

Menjawab persoalan tersebut, pendakwah bebas PU Syed atau nama penuhnya Syed Mohd Bakri Syed Ishak, 40, berkata bahawa manusia tidak berhak menilai tentang halal dan haram pendapatan seseorang. Malah, PU Syed menyokong tindakan aktres itu dalam melakukan amal kebajikan sebegini.



"Pertamanya kita patut bersyukur golongan artis mula sedar untuk membuka tempat pengajian al-Quran. Nabi Muhammad SAW ada menyebut sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar dan mengajar al-Quran. Orang yang membina tempat juga termasuk dalam golongan tersebut.

"Asasnya dia buat kerana Allah dan bukan untuk mendapat nama. Dia juga membuka peluang kepada masyarakat untuk menyumbang dan mengumpul pahala. Bukan bidang kita untuk mempertikaikan hasil kerja dia. Niat dia hendak buat perkara itu sangat baik dan kita harus beri sokongan. Semoga niat tersebut akan mengubah hidup dia dan juga sahabat-sahabat yang lain," ujarnya.

Janna sebelum ini berkongsi satu hantaran di laman Instagram miliknya, dimana dia bertanya pendapat orang ramai adakah duit hasil kerjanya selama ini adalah satu sumber yang haram.

Melihat kepada komen-komen negatif terhadap usaha Janna itu, PU Syed berharap agar netizen bertenang dan bersikap lebih matang.

"Kita kini hidup dalam masyarakat netizen yang mudah mengeluarkan fatwa tanpa ilmu. Orang hanya menilai daripada latar belakang seseorang itu dan boleh bercakap apa sahaja daripada sudut zahir.

"Mungkin perbuatan Janna ini untuk berhijrah dan dia sebagai seorang public figure boleh menarik ramai lagi orang untuk melakukan perbuatan yang sama. Kepada netizen... bawalah bertenang. Kalau benda buruk nak kecam, takkanlah perkara baik begini pun nak kecam juga.

"Kita kena berfikiran matang. Apa yang dia nak lakukan adalah perkara halal. Melahirkan orang-orang yang menghafal al-Quran itu adalah besar ganjarannya," jelasnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: