05 May 2022

TERKENANG ARWAH ANAK MENGHADAP ILAHI PADA BULAN SYAWAL - SAHRONIZAM & SAFURA SAMBUT AIDILFITRI SEDERHANA



"Arwah anak saya meninggal pada bulan Syawal, seingat saya pada Syawal ke-13. Dia sakit dalam bulan itu. Disebabkan itu setiap kali Syawal, kami hanya sambut secara sederhana. Sebab kami masih ingat pada tahun pemergiannya iaitu 2011 adalah tahun kesedihan buat kami. Sembilan hari selepas anak saya meninggal dunia, bapa mertua saya pula meninggal dunia.


"Dalam masa sama, seorang lagi anak saya pula sakit, kerap kali keluar dan masuk hospital. Nak dijadikan cerita, Safura juga sedang mengandung. Anak dan bapa meninggal dunia, anak seorang lagi sakit dan isteri sedang mengandung, semua memori itu susah dilupakan," demikianlah tutur pelakon Sahronizam Noor.

Setiap kali Aidilfitri, pasangan selebriti Sahronizam Noor dan Safura Yaacob sukar menyembunyikan kerinduan terhadap anak sulung mereka yang meninggal dunia di bulan mulia ini.

Sahronizam berkata, meskipun anaknya sudah lama pergi menghadap Ilahi namun mereka sekeluarga tetap meraikan lebaran dalam suasana yang sederhana.

Klik untuk gambar besar



Arwah anaknya ayng bernama Nur Aisyah Mariam meninggal dunia ketika berusia tiga tahun pada 2011. Menurut Sahronizam, berdasarkan laporan doktor anak sulungnya itu meninggal dunia akibat gejala radang paru-paru atau pneumonia.

"Disebabkan paru-parunya tidak menghasilkan oksigen. Dia mengalami demam kemudiannya ia memberi kesan pada paru-parunya. Kalau nak diikutkan, anak saya itu memang dekat dengan saya. Saya lahir pada 24 Ogos dan dia pula pada 23 Ogos. Jadi setiap tahun kami tidak sambut berlebihan, seperti tahun ini baju raya pun tidak dibeli," katanya.

Selain itu, Sahronizam turut memiliki dua anak tiri iaitu Nurul Natasha Abdul Rani dan Muhammad Daniel Khaqim Mohd Khairi hasil perkahwinan Safura dengan anggota kumpulan Kool, Hairie Yaacob.

Sahronizam dan Safura kemudian bertemu jodoh pada 2005 dan dikurniakan empat anak iaitu Yusoff Firdaus, Zara Nur Aisyah, Ariana Sofia dan Nur Aisyah Mariam.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: