21 June 2022

ISU PERSENDA ADIBAH NOOR - IBNU AHMAD AR-RAYYAN MOHON MAAF



"Di sini saya ingin memohon jutaan ampun dan maaf kepada seluruh ahli keluarga Almarhum Adibah Noor khususnya dan kepada semua rakyat Malaysia amnya, serta peminat Almarhum khasnya diatas komen saya di Harian Metro tempoh hari.


"Saya akui perkara ini atas kejahilan saya sendiri dan saya amat kesal di atas kekhilafan saya. Saya berjanji tidak mengulangi lagi di masa hadapan, Insya-Allah. Moga roh Adibah Noor ditempatkan di kalangan para solehah," demikian tutur individu dikenali Ibnu Ahmad Ar-Rayyan yang tampil memohon maaf atas keterlanjurannya yang sebelum ini mempersenda kematian artis versatil, Allahyarham Adibah Noor Mohamed Omar di media sosial.

Lelaki terbabit membuat permohonan maaf terbuka itu menerusi hantaran di Facebook (Fb) Ibnu Ahmad Ar-Rayyan lll dipercayai akaun terbarunya. Selain membuat permohonan maaf, dia juga berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya.

Dalam hantaran sama, Ibnu Ahmad Ar-Rayyan turut memaklumkan semua akaun Fb miliknya sebelum ini sudah disekat: "Tak pasti dapat kembali atau tidak (akaun Fb). Sekali lagi saya mohon jutaan ampun dan maaf. Tolong 'viralkan' (tularkan) status saya," katanya.

Klik untuk gambar besar



Sabtu lalu, negara digemparkan dengan pemergian Adibah Noor yang juga finalis Gegar Vaganza musim kelapan (GV8). Adibah Noor, 52, meninggal dunia di sebuah pusat perubatan swasta di Jalan Ampang sekitar 6.30 petang akibat kanser ovari tahap empat. Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat, di sini, 11.30 pagi, kelmarin.

Berita duka dan mengejutkan itu disahkan oleh rakan artis, Datin Emylia Rosnaida yang juga isteri kepada Datuk AC Mizal di laman Fb miliknya Sabtu lalu. Susulan itu, ramai menzahirkan ucapan takziah dan kesedihan menerusi laman sosial termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, komen ditinggalkan Ibnu Ahmad Ar-Rayyan di salah satu berita dimuat naik di Fb Harian Metro antara yang mendapat perhatian kerana tidak sensitif dan keterlaluan.

Komen itu sempat ditangkap layar oleh netizen yang kemudiannya menyebarkannya di laman sosial mereka. Bukan hanya netizen malah beberapa selebriti tanah air turut meluahkan kemarahan dan kekecewaan di laman sosial susulan komen Ibnu Ahmad Ar-Rayyan itu.


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: