17 June 2022

SUDAH BERI KERJASAMA KEPADA SKMM, KAK KM MOHON MAAF: "SAYA TAK TAHU VIDEO SAYA BUAT SELAMA INI SALAH"



Usahawan Kak KM atau nama sebenarnya Liana Rosli memaklumkan dia sudah dipanggil memberi keterangan oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), susulan tular video aksi tepuk punggung antara empat usahawan terkenal baru-baru ini.


Kata Kak KM, dia hadir ke pejabat berkenaan bagi memberi keterangan pada Rabu lalu dan proses soal siasat berlangsung selama lebih kurang tiga jam.

"Mereka datang ke rumah dan kemudiannya saya telah ke hadir memberi keterangan di pejabat SKMM pada hari sama. Pihak SKMM harus menjalankan siasatan selepas laporan dibuat berkaitan video tersebut.

"Mereka menjalankan tugas dan saya memberi kerjasama baik kepada sepanjang proses memberi keterangan," jelasnya yang dipetik sebagai berkata kepada mStar.

Klik untuk gambar besar



Sementara itu, Kak KM memberitahu yang dia akan lebih berhati-hati dalam sebarang perkongsian di media sosial selepas ini. Malah, pertemuannya dengan SKMM juga sedikit sebanyak memberi pencerahan lebih jelas mengenai apa yang boleh dilakukan sebelum berkongsi sesuatu di laman sosial.

"Saya tak tahu video-video yang saya buat selama ini salah. Bila mendapat penjelasan jelas, maka selepas ini tidak ada lagi tindakan sebegitu. Saya juga akan lebih berhati-hati untuk memuat naik sebarang perkongsian di media sosial.

"Ramai yang tidak puas hati dengan video tersebut. Saya dengan rendah hati memohon maaf atas kesilapan yang telah berlaku," ujar anak kepada dramatis Normah Damanhuri ini.



Terdahulu, menerusi Instagram, Kak KM memuat naik video goyang punggung bersama rakan usahawan lain iaitu Datuk Seri Vida, Ifa Raziah, Cheta Pot Pet. Tindakan empat selebriti itu mengundang rasa kurang senang segelintir netizen.

Bagaimanapun, Ifa Raziah ketika mengulas isu tersebut berkata tindakan mereka itu sekadar hiburan dan gurauan bersama teman-teman.

Video berkenaan telah mendapat perhatian SKMM dimana pihaknya dalam satu kenyataan berkata, mereka membuat siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu (1) tahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: