08 July 2022

DEDAH PENYONDOL PERNAH KACAU RUMAH TANGGANYA - AMYZA AZNAN SALAHKAN DIRI



"Biasalah lelaki ini, ada masanya nakal sikit. Kalau kita terlampau kawal mungkin dia boleh bertindak begitu. Bila rimas, lagi mereka akan buat. Jadi biarkan saja, lambat laun mereka akan datang balik. Itu pada sayalah, orang lain saya tak tahu.


"Sudah tentu saya pernah mengalami situasi itu. Tapi bila suami datang balik kepada saya dan berjanji tidak akan melakukan perkara itu lagi, jadi saya beri peluang. Perasaan was-was itu ada tetapi saya percaya dia. Saya masih isteri pertama, kini dan selamanya," demikian ujar pelakon Amyza Aznan.

Sebelum ini hangat diperkatakan apabila Amyza memberi gambaran mengenai rumah tanggnya berantakan namun tidak mendedahkan kemelut sebenar melanda perkahwinannya. Namun begitu, Amyza menyangkal dakwaan tersebut serta memaklumkan perkahwinannya bahagia dan dalam keadaan baik.

Terkini, pelakon itu akhirnya membuka mulut mengenai hal rumah tangganya yang pernah berdepan kemelut kerana orang ketiga. Amyza bagaimanapun tidak menyalahkan mana-mana pihak sebaliknya melihat kekurangan diri yang mungkin menjadi punca suaminya mempunyai hubungan lain. Biarpun berdepan saat sukar sepanjang melayari bahtera perkahwinan, namun Amyza kekal tenang dan positif.

Klik untuk gambar besar



"Saya muhasabah diri sebab kalau terus menerus menyalahkan orang lain kita akan selalu marah dan susah nak terima permohonan maafnya. Jadi saya selalu tanamkan dalam fikiran bahawa apa yang terjadi adalah salah diri sendiri. Saya tak sempurna, saya tak jaga suami dengan baik, jadi itu yang perlu dibaiki," katanya.

Jelas Amyza yang juga pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2019 itu, hubungan dia dan suami kembali jernih dan sudah tidak ada campur tangan individu ketiga lagi.

"Setakat ini rumah tangga saya baik-baik saja dan gangguan seperti itu tidak ada dah. Pada awalnya memang saya marah tapi tak adalah saya buat tindakan yang mencederakan orang.


"Saya biarkan saja dan selalu fikir apa yang terjadi ini mungkin puncanya daripada diri saya sendiri. Mungkin juga saya bukan isteri yang sempurna. Daripada situ saya reda dan terima saja.

"Bertepuk sebelah tangan memang tidak berbunyi. Apabila semua perasaan was-was itu kita buang jauh-jauh dan reda apa yang berlaku, itu membuatkan kita lebih tenang dan tidak mudah marah," katanya.

"Kalau sayangkan hubungan, perbaiki segala kesalahan dan bukan mencari kesalahan. Kalau tak boleh juga, tepuk dada tanyalah selera," kata Amyza yang turut menitipkan nasihat kepada pasangan berkahwin di luar sana sentiasa menjaga keharmonian rumah tangga.

Untuk makluman, Amyza, 46, berkahwin dengan Khairil Idzhar Md Nazir pada 2004 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Andre Mikhail, Andrian Adam dan Ayden Andika.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: