28 August 2022

"RASANYA LAMA SANGAT SAYA 'TIDUR'..." - SHUIB KEMBALI BANGKIT SEBAGAI DEEJAY SURIA FM



"Saya akui selepas isteri meninggal dunia, semangat saya hilang. Rasanya lama sangat saya 'tidur' dan sekarang perlu fikirkan jalan untuk kembali bangkit. Sebelum ini pun saya banyak tolak tawaran berlakon dan terlibat dengan mana-mana program televisyen. Bergelar penyampai radio kali ini adalah sebagai comeback buat saya.


"Insya Allah jika ada tawaran kerja yang sesuai selepas ini saya akan terima. Saya mahu kembali push diri sebab rasa sudah tepu," demikian kata pelawak Shuib yang menganggap sudah tiba masa untuknya kembali aktif, selepas sekian lama tidak terlibat dengan aktiviti seni sejak pemergian isteri tercinta, Allahyarham Siti Sarah pada Ogos tahun lalu.

Sebagai tanda dia sedia menerima lebih banyak tawaran, Shuib atau Shahmira Muhammad, 38, berkata kemunculannya sebagai penyampai radio Suria FM menerusi segmen Morning Morning Suria bermula 29 Ogos ini adalah permulaan.

Shuib ditemui ketika konsert Jelajah 90 Suria yang berlangsung di IOI City Mall Putrajaya pada Sabtu di mana acara tersebut sekaligus memperkenalkan namanya sebagai keluarga baharu stesen radio berkenaan.

Klik untuk gambar besar



Bapa kepada empat cahaya mata ini akan bergandingan dengan Ajak dan Suraya Borhan mengendalikan segmen pagi pada setiap hari Isnin hingga Jumaat. Menerima tawaran kali ini, Shuib juga menolak dakwaan dia memberi kata setuju kerana menerima bayaran tinggi.

"Saya berbincang dengan DJ Lin hanya sekali sahaja, sejak awal telah memaklumkan satu nilai untuk tawaran diberikan. Saya sendiri tidak menyangka diterima kembali bekerja dan sangat teruja untuk memberikan yang terbaik buat Suria FM.

"Syukur nilai cukup untuk saya dan anak-anak. Bagaimanapun saya bukan bekerja kerana wang. Ini adalah masa untuk saya kembali berkarya," ujarnya.


Sementara itu, Shuib juga akui bimbang untuk mewujudkan keserasian bersama dua rakan penyampai lain kerana ini adalah kali pertama dia bekerja dengan Ajak dan selain tidak pernah digandingkan dengan penyampai radio wanita.

Dalam masa sama, Shuib melihat Suria FM merupakan sebuah stesen yang mempunyai potensi besar untuk terus berkembang di masa akan datang.

"Cabaran utama kali ini adalah untuk mewujudkan keserasian antara rakan penyampai. Saya bimbang akan menyusahkan mereka dengan kehadiran saya sebagai pasukan baharu ini. Sebelum ini saya pernah bekerja dengan stesen radio lain dan saya melihat Suria FM mempunyai potensi yang amat besar

"Malah ketika berkhidmat di stesen radio terakhir, kami menjadikan Suria FM sebagai satu rujukan kerana berjaya menunjukkan peningkatan angka pendengar," jelasnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: