22 September 2022

INDIVIDU GUNA MUKA & VIDEONYA UNTUK 'CARI MAKAN' - KAK KM BENGANG, AMBIL TINDAKAN SAMAN



Baru-baru ini, seorang peniaga atas talian telah menggunakan gambar usahawan sensasi Kak KM sebagai bahan promosi tanpa kebenaran. Dek kerana itu, Kak KM atau nama sebenarnya Liana Rosli telah berkongsi satu video memberi amaran kepada individu berkenaan di laman Instagram miliknya pada Khamis.


Mengakui bengang dengan individu tersebut, Kak KM berkata dia bersedia untuk berdepan bagi menyelesaikan isu berkenaan. Anak kepada pelakon Normah Damanhuri ini bakal mengambil tindakan saman terhadap individu terbabit yang dikatakan menjual produk bengkung sama seperti produk KM Ikat keluaran syarikat miliknya.

"Pagi ini (Khamis) saya nampak individu tersebut semakin banyak guna gambar dan video saya untuk tujuan promosi sedangkan dia bukannya jual produk saya. Saya tidak kenal dia siapa, dia juga bukan menjual produk milik saya.

"Tak tahulah produk dari mana yang dijual namun mudah-mudah guna gambar saya. Memang saya tidak akan berdiam apabila perkara begini berlaku. Saya akan buat laporan dan tunggu surat saman," katanya.

Klik untuk gambar besar



Sementara itu, Kak KM memberitahu dia mula menyedari tindakan tidak bertanggungjawab individu berkenaan sejak sebulan lalu, namun masih mengambil langkah berdiam diri kerana memikirkan ia bukanlah satu perkara serius.

Bagaimanapun, dia mula bertindak selepas perniagaannya terkesan sehingga ramai pelanggan mula bertanya kesahihan produk tersebut. Tambahnya, ini bukan kali pertama berlaku kerana sebelum ini juga ada pihak lain yang melakukan tindakan sama.

"Sebenarnya sudah sebulan juga saya perasan tentang perkara ini. Selama ini hanya berdiam sahaja. Tidaklah fikir mahu ambil sebarang tindakan saman.


"Semakin lama saya nampak orang itu semakin menjadi-jadi. Dia ambil jalan mudah guna gambar dan video saya. Ramai juga yang bertanya adakah itu benar produk saya sebab itu rasanya saya tidak boleh terus berdiam.

"Saya memang rasa marah sekarang ini. Kalau jumpa nak tumbuk muka orang tu sebab ambil jalan mudah macam ini. Saya penat berniaga, ada pula orang lain yang ambil kesempatan dengan cara begini.

"Bukan sekali terjadi. Sudah banyak gambar dan video saya digunakan tanpa kebenaran. Kalau terus berdiam takut nanti perkara begini akan terus berleluasa," ujarnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: