02 September 2022

MAHKAMAH ARAHKAN ZIZIE IZETTE, BUNG MOKTAR BELA DIRI



Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, telah memerintahkan ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad membela diri terhadap tuduhan rasuah RM2.8 juta.


Hakim Rozina Ayob membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie bagi semua tuduhan terhadap pasangan terbabit. Rozina dalam penghakimannya berkata, mahkamah berpuas hati dengan keterangan saksi dan penilaian bukti yang dikemukakan pendakwaan serta hujahan pihak pembelaan.

"Selepas mendengar keterangan saksi pendakwaan ke-24 (Madhi Abdul Hamid) dan saksi pendakwaan ke-25 (Norhaili Ahmad Mokhtar) serta hujahan semua pihak, walaupun terdapat percanggahan rakaman percakapan dengan keterangan lisan mereka di mahkamah terbuka, mahkamah mendapati ia tidak memberi kesan kepada pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh.

"Bagaimanapun mahkamah mengambil maklum percanggahan itu dan meneliti keterangan kedua-dua tertuduh dengan berhati-hati, mahkamah menerima keterangan lain SP24 (saksi pendakwaan ke-24) dan SP25 (saksi pendakwaan ke-25) yang dikemukakan di mahkamah ini," kata Rozina.

Dalam kes itu juga, Rozina berkata, terdapat bukti tertuduh pertama Bung Moktar menerima wang RM2.8 juta melalui tertuduh kedua Zizie Izette sebagai dorongan mendapat kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk FELCRA Bhd bagi membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Mahkamah kemudian memberi tiga pilihan membela diri kepada Bung Moktar yang juga bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra dan Zizie sama ada berdiam diri, memberi keterangan dalam kandang tertuduh atau memberi keterangan bersumpah di kandang saksi.

Klik untuk gambar besar



Pasangan suami isteri itu memilih memberi keterangan secara bersumpah di kandang saksi yang mana pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

Sepanjang perbicaraan berlangsung, seramai 30 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan kes yang bermula 2 Januari 2020.

Saksi itu termasuk bekas Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah, bekas Pengurus Besar Pelaburan Felcra Adnan Yusof, Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Felcra Dr Habibah Suleiman dan dua perunding unit amanah Public Mutual Berhad iaitu Norhaili serta Madhi.

Bung Moktar didakwa menerima rasuah daripada Madhi melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara 12.30 tengah hari hingga 5 petang 12 Jun 2015.

Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili, di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette, 44, pula mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa sama. Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How manakala peguam M Athimulan mewakili kedua-dua tertuduh.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: