04 September 2022

NYANYI LAGU ISTIMEWA BUAT ISTERI - SHAHIR ENGGAN AMBIL TINDAKAN UNDANG-UNDANG ISU HUTANG



"Saya ada menulis sebuah lagu khas buat sang isteri. Sebelum ini, ramai sangka lagu saya semuanya lagu kecewa. Saya tak pernah tulis lagu. Ini buat julung kalinya, saya tulis sendiri," tutur penyanyi Shahir Zawawi yang mempersembahkan lagu istimewa buat isteri, Jaskin Jaludin di majlis resepsinya yang berlangsung malam semalam di Bizmilla Wedding Center, di sini.


Lagu berjudul 'Halal' itu menjadi lagu pertama hasil ciptaan Shahir sendiri dan dipersembahkan di hadapan tetamu yang hadir. Menurut Shahir, jalan cerita lagu 'Halal' berkisar mengenai pengalaman sebenar perjalanan cinta dia dan Jaskin.

"Ia berdasarkan pengalaman sebenar, perkenalan kami dalam tempoh yang singkat. Mudah-mudahan, anda dapat menikmati bait-bait lagu yang kami persembahkan ini," katanya.

Persembahan di majlis resepsi itu juga berjaya membuatkan Jaskin sekali lagi menitiskan air mata terharu.

Kedua-dua mempelai diijabkabulkan dalam majlis akad nikah yang berlangsung semalam di lokasi sama. Terdahulu, Shahir dan Jaskin mula mengenali satu sama lain pada Mei lalu dan mengikat tali pertunangan pada 16 Julai lalu.

Sementara itu, berhubung dakwaan pernah berhutang sebanyak RM4,000 kepada seorang individu dalam industri hiburan tanah air, Shahir berkata, dia belum dihubungi oleh pihak yang mendakwa dirinya pernah berhutang dan terbuka untuk berbincang.

"Saya tak suka apabila ada portal yang bercerita seolah-olah, saya ambil masa sebab nak elak atau apa. Setakat ini, saya belum dihubungi oleh pihak berkenaan. Saya tak ada masalah nak berhubung sebab kita tak bermusuh. Tapi, bukan dengan cara begitu," ujarnya.

Tambah penyanyi lagu 'Pendam' dan 'Kebahagiaan Dalam Perpisahan' itu, dia juga tidak akan mengambil tindakan undang-undang kerana ia tidak berbaloi.

Klik untuk gambar besar



"Kadang-kadang, untuk ambil tindakan undang-undang bagi menyelesaikan amaun yang kecil, ia tidak berbaloi. Kalau ada ruang untuk kita selesaikan, kita bincang sebab saya bukan nak bergaduh dengan orang.

"Motif saya adalah untuk naikkan karier saya. Saya akui, saya bukan seorang multitasker (boleh melakukan banyak kerja dalam satu masa). Saya susah untuk fokus.

"Jadi, fokus saya sekarang adalah karier saya. Kalau saya layan benda-benda lain, nanti, lagu saya tak siap, apa pun tak siap. Kalau pihak itu nak berbincang secara baik, silakan," jelasnya.

Shahir juga berkongsi kronologi ringkas mengenai isu yang berlaku, yang mana tidak ada perbincangan dan persetujuan mengenai nilai yang perlu dia bayar kepada individu itu.

"Awak tidak boleh keluarkan invois tanpa ada perbincangan. Saya hargai setiap keringat orang. Saya tak pula kata awak tak layak dapat bayaran. Awak paksa saya ikut kehendak awak tanpa ada hitam dan putih atau perbincangan.

"Jadi, sebab itu saya rasa macam, kalau betul pun, saya boleh ganti balik duit minyak dan masa yang awak habiskan. Tapi, bukan dengan cara awak keluarkan invois, awak nak saya bayar, tapi bila saya tak setuju, awak cakap ini adalah hutang. Tak boleh begitu," katanya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: