04 September 2022

PESERTA SABAH, TRACIE SINIDOL MUNCUL JUARA DEWI REMAJA - FIKRY IBRAHIM MOHON MAAF SELEPAS DIKECAM



Pertandingan Dewi Remaja 2022 yang berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, malam tadi, telah pun melabuhkan tirainya dengan menobatkan peserta kelahiran Sabah, Tracie Sinidol, 21, sebagai juara.


Kemenangan itu menyaksikan Tracie berjaya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM10,000 serta trofi. Tempat kedua pula menjadi milik Bee Aishah manakala tempat ketiga dimenangi Kimberly, diikuti Alyssa di tempat keempat.

Pada majlis itu, Alyssa turut dipilih sebagai Dewi Aktif manakala Tracie memenangi kategori Dewi Favourite menerusi hasil undian peminat di laman web rasmi Remaja. Dalam masa sama, Dewi Inspirasi pula menjadi milik Keeran.

Sementara itu, pelakon Fikry Ibrahim telah menerima kecaman netizen dek kerana kesilapan mengumumkan nama pemenang tempat ketiga Dewi Remaja 2022. Ketika kejadian, Fikry tersasul menyebut nama Kimberly sebagai 'Kim' sehingga membuatkan penonton dan peserta bertanding keliru.

Klik untuk gambar besar



Malah salah seorang peserta, Siti Nor Aishah Bee Md Noor tampil ke hadapan pentas kerana menyangka dia adalah pemenang tempat ketiga.

Menjelaskan kekeliruan itu, Fikry berkata, dia hanya menyebut nama yang tertera pada plakad yang diberikan kepadanya namun mengakui sepatutnya menyebut nama penuh pemenang.

"Pemenang tempat ketiga adalah Kimberly, tetapi saya sebut Kim sebab dekat plakad tertera nama itu," jelasnya yang dipetik sebagai berkata kepada mStar.



Dalam pada itu, meskipun dikecam atas kesalahan itu, Fikry bagaimanapun menerima kritikan dengan positif selain ia pengajaran untuk lebih berhati-hati pada masa hadapan.

"Saya akui silap saya, kalau kesilapan saya itu menyebabkan ada yang terguris hati. Saya minta maaf. Saya terima komen diberikan dengan hati terbuka. Saya percaya ada ruang lagi untuk memperbaiki diri pada masa hadapan," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai tidak memberikan ruang buat Tracie membuat ucapan kemenangan, Fikry memaklumkan dia hanya mengikut arahan diberikan.

Jelasnya, kekurangan masa menjadi faktor ucapan pemenang terpaksa dimansuhkan bagi melancarkan perjalanan majlis yang turut disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria.






         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: