18 September 2022

TRENDING SELEPAS TAYANG DI NETFLIX - 'MAT KILAU' TERUK DIKRITIK, SYAMSUL YUSOF TENANG SAJA



"Baru selesai menonton Mat Kilau, sinematografi babak aksi kucar-kacir, pelakon geraknya sekali, kamera goyang 10 kali! Guna tokoh sejarah untuk penceritaan tahap kartun Sabtu pagi. Dialog ibarat ceramah yang ditujukan penonton IQ rendah!


"Kenapa terlalu ramai bercakap tentang Mat Kilau? Tiada ketepatan dalam sejarah. Babak aksi seperti 'separuh masak' dan plot penceritaan yang lemah." - "Saya bukan seorang ahli sejarah namun saya tidak rasa itu cara orang pada era berkenaan bercakap."

Itulah antara komen-komen netizen yang memberikan reviu negatif terhadap karya Syamsul Yusof iaitu filem 'Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan', selain meluahkan rasa hampa dan tidak berpuas hati dengan kualiti filem berkenaan.

Sebelum ini, ramai melahirkan rasa bangga dan pujian terhadap filem 'Mat Kilau' sehingga ia berjaya mencapai kutipan luar biasa, RM97 juta sepanjang dua bulan ditayangkan di pawagam.

Klik untuk gambar besar



Namun sejak ia mula ditayangkan menerusi aplikasi penstriman Netflix pada 16 September lalu bersempena Hari Malaysia, ia mendapat reaksi berbeza daripada penonton sehingga perbualan mengenainya trending di Twitter.

Tidak hanya itu, ramai turut mempertikaikan tentang ketepatan sejarah dalam filem tersebut selain plot yang lemah serta babak aksi disifatkan sebagai 'separuh masak'.

Mengenai maklum balas 'negatif' penonton terhadap filem 'Mat Kilau', Syamsul, 38, selaku pengarah filem terbabit itu berkata, apa yang penting adalah kebanyakan penonton suka selain mendapat banyak kiriman mesej secara 'Direct Message' (DM) di Instagram dari seluruh negara.



"Ada suka, puji melambung, hina pun ada. Jadi, tenang-tenanglah. Apa pun Alhamdulilah. Saya dah lama buat filem dah 'masak'. Filem ni biasalah. Apa yang penting majoriti penonton suka, saya bersyukur. Lepas tu sebagai pengkarya filem jangan mudah puas hati. Terus perbaiki dan baiki perlahan-lahan.

"Apabila ditayangkan di Netflix, Alhamdulillah, respons pun sangat baik, luar biasa juga. Saya setiap hari menerima DM, mesej daripada peminat di serata dunia. Ada dari Jerman, Madinah (Aarab Saudi), Australia, Amerika Syarikat, cakap tahniah dan pasukan Mat Kilau," katanya.

Sementara itu, bercerita mengenai tayangan filem terbitan Studio Kembara itu di Indonesia, Syamsul memberitahu, peminat di sana tidak dapat menikmati filem itu dalam tempoh lama di pawagam apabila mula ditayangkan di Netflix.



"Untuk di Indonesia, sayang peminat tidak dapat menikmati Mat Kilau dengan puas atau lama sebab permintaan amat tinggi di Netflix. Jadi, penerbit dan saya pun nasihat untuk tayangkan segera di Netflix.

"Walaupun mereka tidak dapat menikmati di pawagam dalam masa lama, sekejap saja dalam seminggu di pawagam terus masuk Netflix. Ini sebab Netflix pun mahu kita segera untuk tayang supaya seluruh dunia boleh tengok," tuturnya.

Menurut Syamsul, kejayaan filem itu meraih kutipan RM97 juta membuatkan banyak wakil filem dari pelbagai negara mahu menayangkan filem terbitan dan arahannya selepas ini.



"Kejayaan Mat Kilau amat luar biasa. Penutup kutipan hampir RM100 juta dan ditayangkan di Indonesia. Insya-Allah pada masa akan datang, nak tayangkan serentak di Indonesia atau negara luar lain juga. Alhamdulillah, selepas kejayaan filem ini ada agen dari negara lain yang mula berminat dengan filem saya, jadi saya bersyukur," ujarnya.

Sebelum ini, filem terbitan Studio Kembara Sdn Bhd ini mencatat sejarah dalam industri perfileman negara apabila mencatatkan kutipan filem tertinggi di Malaysia.

Tidak hanya meraih kutipan tertinggi, filem ini juga menjadi tular dan bualan hangat masyarakat sejak ia mula ditayangkan pada 23 Jun lalu apabila ramai hadir di pawagam dengan berpakaian persis seorang pahlawan.

'Mat Kilau' yang menampilkan barisan pelakon hebat Datuk Adi Putra, Fattah Amin, Beto Kusyairy, Yayan Ruhian dan Johan As'Ari itu juga turut ditayangkan di Singapura, Brunei dan terbaharu di Indonesia sejak 31 Ogos lalu.





         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: