Pelakon Wafariena Roslan sebelum ini memaklumkan dia mengalami kecederaan akibat melakukan babak aksi penggambaran telemovie, selain meluahkan rasa terkilan akan sikap pengarah yang seolah lepas tangan dan tidak langsung bertanya khabar mengenai dirinya yang dimasukkan ke sebuah hospital perubatan di Rawang, Selangor.
Terkini, ibu Wafariena iaitu Suzana Hamad, 59, memberi tempoh seminggu kepada pihak produksi drama lakonan anaknya itu yang mengalami kecederaan ketika penggambaran untuk berbincang bagi menyelesaikan segala permasalahan berlaku sebelum membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang.
Suzana ketika dihubungi berkata, dia belum membuat laporan polis kerana mahu memberi ruang untuk perbincangan bagi tindakan penyelesaian dibuat kerana kasihan dengan penerbit yang bersikap baik serta pemain baharu dalam industri hiburan.
Difahamkan, Wafariena mengalami kecederaam dalaman iaitu tisu bahagian punggung cedera, perut koyak dan berlaku pendarahan selepas melakukan aksi lagak ngeri dalam penggambaran di Lenggong, Perak pada 8 Oktober lalu.
Akibat kejadian itu, Wafariena dimasukkan ke sebuah pusat perubatan selama lima hari sebelum dibenarkan pulang Khamis lalu. Suzana berkata, hari ini anaknya semakin pulih tetapi perlu dipantau terutama kecederaan di bahagian perut yang memerlukan masa untuk pulih.
Klik untuk gambar besar
"Tempoh pulih tidak dapat dipastikan oleh doktor berapa lama. Tapi, dia kini mendapat cuti sakit selama 20 hari. Malah, dalam tiga hari seminggu, Wafariena perlu ke hospital bagi menjalani rawatan fisioterapi," jelasnya dipetik sebagai berkata kepada mStar.
Suzana berkata, dia amat kesal dengan tindakan pengarah yang tidak bertanggungjawab dan lepas tangan terhadap kecederaan dialami anaknya ketika bekerja di set penggambarannya.
"Kejadian berlaku depan mata dia (pengarah). Dia nampak Wafa (panggilan Wafariena) dah cedera dan dipapah kerana kesakitan selepas insiden itu, tapi masih duduk dan buat tidak tahu. Malah, dia masih minta Wafa kerja untuk menyiapkan dua babak lagi walaupun dalam kesakitan," katanya.
Ditanya adakah sudah termaktub dalam kontrak aksi lagak ngeri itu perlu dibuat sendiri oleh Wafariena, Suzana berkata, berdasarkan perancangan, ia sepatutnya dilakukan pelakon lagak ngeri yang disediakan pihak produksi.
"Saya pun tak tahu kenapa pengarah itu minta Wafa yang buat sendiri aksi lagak ngeri berkenaan sedangkan sudah ada pelakon lagak ngeri di lokasi penggambaran ketika itu.
"Sebagai ibu, saya memang kesal dengan apa yang dilakukan kepada anak saya. Namun, Wafa harus mendapatkan pembelaan wajar. Saya juga tidak mahu apa yang berlaku kepada Wafa terjadi ke atas pelakon lain pula," katanya.
Difahamkan, Wafariena adalah pelakon utama 'supertele' genre seram itu dan bakal ditayangkan di saluran berbayar popular. Ia diarahkan pengarah baharu dan diterbitkan syarikat produksi baharu.
Ditanya mengenai babak lakonan Wafariena yang belum selesai, Suzana berkata, dia difahamkan aktiviti penggambaran sudah pun tamat dan watak anaknya 'dimatikan' tiba-tiba akibat kemalangan itu.
________________________
No comments:
Post a Comment