13 October 2022

DEDAH WAJAH BILAL - NEELOFA, PU RIZ KONGSI KERANA MAHU ELAK TOHMAHAN



Setelah sekian lama, akhirnya selebriti popular iaitu Noor Neelofa mendedahkan wajah anak sulungnya, Muhammad Bilal yang kini berusia lapan bulan itu di laman Instagram miliknya semalam.


Neelofa memuat naik video yang memaparkan pelbagai gambar dan video Bilal bersama dirinya dan suami, pendakwah bebas yang juga pelakon, PU Riz dari saat dilahirkan hinggalah hari ini.

Dalam hantaran itu, Neelofa turut menzahirkan isi hatinya kepada putera kesayangan hasil perkahwinannya dengan PU Riz. Menurut Neelofa, kehadiran Bilal adalah satu anugerah yang menyempurnakan kehidupan rumah tangganya. Neelofa juga turut mendoakan Bilal agar menjadi asbab agama Islam tersebar ke seluruh alam.

"Cinta dan sayang pada anakku Bilal. Antara kecintaan tertinggi dan teragung ummi di dalam hidup ini. Tiada yang lebih menyayatkan hati selain anak ummi ini disakiti, pasti semua ibu kasih dan cintakan anak mereka apatah lagi sewaktu mereka kecil.

Klik untuk gambar besar



"Bilal anak ummi sayang. Allah zahirkan kamu dalam hidup ummi dan abah begitu sempurna. Jika kekayaan yang nak dibandingkan, maka kaulah yang paling berharga buat ummi dan abah.

"Jika keselesaan yang ditaruhkan, tiada taruhan yang dapat dibandingkan dengan senyumanmu. Sungguh ini adalah hadiah yang Allah kurniakan dalam hidup ummi menjadi penyejuk mataku. Syukur yang tiada penghujung pada-Mu ya Allah.

"Ummi doakan Bilal menjadi asbab agama tersebar seluruh alam. Terima kasih wahai Allah Yang Menzahirkan anak ini kepada kami. Semoga Afiyyah sentiasa untuknya. Semoga fakih dia dalam agama. Semoga doanya adalah seperti disebut nabi, doa anak yang soleh kepada kedua ibu bapanya," tulisnya.



Sementara itu, mengenai keputusan Neelofa berkongsi wajah Bilal, PU Riz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd Ismail, 27, berkata, setiap tindakan dan apa pun yang hendak dilakukan perlu disertakan dengan akhlak.

"Kami tunjuk wajah anak untuk sifarkan tohmahan. Bagi saya, jangan keterlaluan dan melampaui batas agama. Tidak kisah anak siapa pun, selebriti atau orang biasa. Tidak elok jika kita bercakap sesuatu yang tak baik kepada anak orang lain. Perlu fikir apa perasaan ibu bapa itu," ujarnya.

Menurut Riz, dia sedih dengan tindakan segelintir pihak yang menyunting wajah anaknya selepas terdapat individu tidak bertanggungjawab menularkan penampilan Bilal di tempat umum.



"Kami sebagai ibu bapa sedih dengan sikap segelintir orang kita. Kalau saya, memang tak tergamak nak buat begitu kepada anak orang lain. Walaupun kenal baik atau tak dengan kita, itu bukan cara dan tindakan yang betul. Malah, tak perlu nak sentuh sampai tahap begitu.

"Hargai ciptaan Allah SWT. Jangan ubah. Sebagai manusia ia tindakan biadab dan kurang adab. Sebab itu saya nyatakan, apa saja nak dibuat kena dilakukan dengan akhlak. Malah, siap ada mesej saya suruh bertabah dan sebagainya. Bagi saya itu dah macam satu fitnah," katanya.

Dalam masa sama, Riz mengucapkan terima kasih kepada semua peminat, pengikut di laman sosial dan rakan artis yang sentiasa menitipkan kata-kata dan doa yang baik buat mereka sekeluarga.



"Saya sempat baca komen yang ditulis, Alhamdulillah, ramai lagi yang sayangkan Bilal dan kami sekeluarga. Terima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan yang baik-baik. Harapnya, mereka yang teringin sangat nak ambil tahu mengenai anak kami, sudah boleh melihat sepuasnya," tuturnya.

Sebelum ini, hangat diperkatakan mengenai anak lelaki pasangan ini selepas tular video dimuat naik seorang individu di aplikasi TikTok dimana memaparkan wajah bayi yang didukung oleh seorang wanita didakwa Neelofa dan suami yang berada di sebuah hospital atau klinik.

Wajah Bilal yang diambil secara curi-curi itu telah membuatkan Neelofa terkilan dan tersinggung. Menurut Neelofa, apa yang dilakukan individu tersebut seolah-olah tidak menghormati dirinya dan suami sebagai ibu bapa Bilal.

Bukan itu sahaja, foto sama juga disunting dengan pelbagai bentuk wajah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Berhubung hal itu, Neelofa menerusi perkongsian di Insta Story, meluahkan rasa sedih dan terluka apabila ada netizen yang bertindak mengedit wajah Bilal menjadi orang lain.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: