13 October 2022

DIDAKWA BUAT VIDEO SUMBANG - ALIFF SYUKRI MENGAKU TIDAK BERSALAH



Di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan membuat dan memulakan video bersifat sumbang, April lalu.


Aliff yang juga orang kena saman (OKS), membuat pengakuan tidak bersalah selepas keempat-empat pertuduhan itu dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah, dan minta dibicarakan.

Usahawan kosmetik itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 (Akta 588), secara sedar melakukan kesalahan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi video bersifat sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada 13, 15, 17 dan 21 April lalu, yang dilihat pada 24 April di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di Cyberjaya.

Jika sabit kesalahan, Aliff boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Fazril Sani Mohamed Fadzil menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Klik untuk gambar besar



Bagaimanapun, peguam mewakili Aliff, Hasshahari Johari Mawi ketika merayu pengurangan jumlah jaminan, berkata, Aliff, 35, bekerja sendiri dan sudah berkahwin serta mempunyai lima anak tidak mungkin akan melarikan diri daripada menghadiri prosiding.

Beliau berkata, sebagai seorang yang rapat dengan keluarga, anak guamnya sedar perbuatan melarikan diri itu akan menyebabkan kepayahan kepada keluarganya. Selain itu, katanya, sebagai ahli perniagaan, Aliff bertanggungjawab terhadap ramai pekerjanya.

"Tidak ada dalam apa jua keadaan menunjukkan tertuduh enggan bekerjasama atau melawan atau ingkar kepada arahan mana-mana pihak berkuasa. Saya percaya mahkamah berpegang kepada tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya," katanya.

Sementara itu, peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud berkata, jaminan bukanlah suatu hukuman atau sebagai pertukaran kepada denda. Katanya, jaminan bertujuan untuk memastikan kehadiran selain semua empat pertuduhan itu membabitkan kesalahan sama. Beliau berkata, adalah tidak munasabah setiap pertuduhan dikenakan jaminan berbeza.


"Dalam neraca yang mengimbangkan antara seorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya dan kewajipan menghadiri perbicaraan ia tidak seharusnya dijadikan hukuman," katanya.

Justeru, pembelaan memohon jaminan RM1,500 untuk semua pertuduhan. Hakim Ahmad Rizki Abdul Jalil menetapkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen. Aliff membayar jaminan RM20,000.

Pada April lalu, Aliff dipanggil ke pejabat SKMM di Cyberjaya untuk membantu siasatan membabitkan penayangan klip video lagu bertajuk Kelepak Kelepuk yang dimuat naik melalui media sosialnya.

Penayangan video berkenaan melalui media sosial mendapat kecaman ramai pihak berikutan ia memaparkan sekumpulan penari lelaki bersolek dan berperwatakan lembut dengan tarian mencolok mata.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: