Di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini, pendakwah selebriti iaitu Pencetus Ummah (PU) Azman telah didakwa atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai lalu.
PU Azman yang memakai baju kurta berwarna gelap itu kelihatan tenang ketika berada di perkarangan mahkamah. PU Azman atau lebih dikenali dengan panggilan Cik Man berusia 41 tahun itu hadir dengan ditemani peguam, kakak dan abang iparnya pada pukul 8.30 pagi.
PU Azman atau nama sebenarnya Azman Syah Alias bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mengikut tiga pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal dengan melakukan perbuatan kelucahan melampau termasuk merangsang mangsa berusia 17 tahun.
Perbuatan itu dilakukan antara pukul 3 hingga 5 pagi di ruang tamu dan tandas di sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai pada 6 Julai lalu.
Tertuduh turut melakukan perbuatan sama terhadap mangsa remaja lelaki berusia 16 tahun 10 bulan fi dalam sebuah bilik di rumah yang sama lebih kurang pukul 8.30 malam hingga 12 tengah malam, 5 Februari lalu dan di ruang tamu rumah sama antara pukul 3 hingga 6 pagi, 6 Julai lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Klik untuk gambar besar
Timbalan Pendakwa Raya, Husni Fairos Ramly meminta mahkamah mengenakan jaminan tinggi terhadap tertuduh iaitu RM15,000 bagi setiap pertuduhan kerana kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Peguam yang mewakili tertuduh, Mohamad Zahid Ahmad kemudian memohon jaminan yang rendah atas alasan pendapatan anak guamnya terjejas sejak direman bulan lalu dan memerlukan bantuan keluarga untuk menjaminnya.
"Beliau juga telah hadir hari ini dan menunjukkan kerjasama yang sangat baik. Tertuduh berusia 41 tahun adalah seorang bujang dan turut menanggung keluarga di Rantau, Seremban," katanya dalam prosiding kes di sini hari ini.
Sementara itu, PU Azman ketika ditemui selepas membayar duit jaminan pada pukul 2.40 petang tadi mengucapkan terima kasih dan menghargai doa daripada semua pihak.
"Terima kasih kerana sudi menunggu dan Cikman menghargai doa daripada semua pihak. Alhamdulillah hari ini proses pertuduhan diserahkan kepada peguam," tuturnya.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM40,000 bagi kesemua pertuduhan dan tertuduh dilarang menghampiri mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Tertuduh juga perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada Sabtu pertama setiap bulan dan paspot diserahkan kepada mahkamah.Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Disember depan untuk serahan dokumen.
________________________
No comments:
Post a Comment