Akibat jangkitan kuman di paru-paru, anak sulung kepada pemain gitar terkenal, Joe Primed iaitu Sarah Nisa, 25, telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah pusat perubatan, di sini, semalam.
Joe atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir yang berdepan detik mencemaskan itu berkata, Sarah Nisa mulanya diserang asma yang kuat kira-kira jam 5 pagi dan mereka membawanya ke klinik untuk rawatan.
"Dia diberikan topeng pengabut (nebulizer) tapi pada jam 9 pagi dadanya kembali sesak dan kami bawa semula ke klinik buat lagi 'nebulizer'. Namun, semasa buat rawatan ini, keadaannya semakin lemah dan doktor minta segera dibawa ke hospital pada jam 10 pagi.
Sarah Nisa ditempatkan di wad kecemasan dari jam 10 pagi hingga 1 tengah hari sementara menunggu keputusan ujian darah," maklum bekas pemain gitar Wings itu ketika dihubungi Harian Metro.
Jelas Joe lagi, sebaik mendapat keputusan, doktor menyarankan Sarah Nisa dimasukkan ke ICU kerana ada jangkitan kuman di paru-paru. Bagaimanapun, Joe bersyukur kerana keadaan Sarah Nisa kini bertambah baik berbanding semalam.
"Saya sangat terperanjat serta kasihan tengok keadaan isteri pada masa itu. Alhamdulillah, terima kasih kepada 'followers' (pengikut) dan rakan-rakan yang mendoakan. Iringan doa itu sangat penting dalam keadaan sebegini," katanya yang turut berkongsi perkara itu di media sosial.
________________________
No comments:
Post a Comment