05 October 2022

NAFI MINTA ZUL ARIFFIN MUAT NAIK VIDEO SUMBANG DI MEDIA SOSIAL - ERMA FATIMA TANYA SIAPA 'MALAIKAT'?



"Saya tak pernah suruh Zul muat naik video sumbang itu. Saya tidak perlukan publisiti sebegitu rupa. Kalau saya dahagakan publisiti lebih baik saya muat naik di Instagram saya, sekurang-kurangnya boleh raih banyak tontonan. Itupun kalau saya gila publisiti.


"Saya tak nak isu ini menjadi fitnah kepada orang. Kenyataannya itu seperti membuka peluang untuk orang lain membuat fitnah. Jadi saya nak tahu siapa yang menyuruh dia muat naik.

"Adakah saya yang dimaksudkan? Saya tak nak membesarkan isu ini sebab saya tidak perlukan publisiti untuk drama saya. Saya juga enggan membuka aib sesiapa atau mempertahankan diri.

"Benda ni jadi tak 'best'. Kita kena mengendalikan secara profesional. Kita buat kita tanggung," ujar penerbit drama 'Perempuan Itu', Erma Fatima yang menafikan dia adalah individu yang meminta pelakon Zul Ariffin memuat naik kandungan video babak kontroversi drama itu di media sosial.

Kata Erma, kenyataan Zul mengenai 'orang lain' adalah 'malaikat' dan bukannya dia selepas didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Sepang semalam atas pertuduhan memuat naik kandungan bersifat sumbang dalam media sosial boleh membuka peluang kepada orang ramai membuat fitnah.

Tuturnya lagi, dia mahu tahu siapa 'malaikat' yang dimaksudkan kerana kenyataannya seolah-olah ada yang menyuruh dia memuat naik video sumbang itu. Menurut Erma, disebabkan kenyataan Zul itu, ramai berteka-teki dan ia boleh menjadi fitnah.

Dalam masa sama, Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad Ali berkata, Zul tidak seharusnya membabitkan orang lain yang tiada kena mengena dengan perbuatannya itu.

"Dakwaan dikenakan ke atas dia kerana dia yang memuat naik. Jadi takkanlah saya atau pengarah tiba-tiba nak tunjuk hero dengan mengaku bersalah. Pengarah dan pelakon ada otak. Takkanlah nak buat perkara memudaratkan diri walaupun disuruh.

"Lainlah kalau kes itu didakwa atas pihak yang membuat naskhah itu. Sekarang ini, semua pihak sudah disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Pihak mereka juga sudah ambil skrip dan 'treatment' drama untuk melengkapkan siasatan.

"Saya sebolehnya enggan perkara ini diperbesarkan atau menjadi pergaduhan sebab benda dah berlaku. Saya anggap semua pihak bersalah termasuk saya dan pengarah. Tiada malaikat atau syaitan.

"Dia tidak boleh menuduh sewenang-wenangnya kerana ketika isu ini timbul tiada satu kenyataan yang menyalahkan dia. Walaupun hampir 10 bulan drama ini sudah dirakamkan, tapi saya tidak pernah bercakap soal kerugian yang terpaksa ditanggung," katanya.

Semalam, Zul memaklumkan dia tidak akan mengambil tindakan selanjutnya dan menasihatkan rakan artis lebih berhati-hati apabila diminta memuat naik hantaran bagi tujuan promosi.

Terdahulu, Zul didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang, semalam atas pertuduhan memuat naik kandungan bersifat sumbang dalam media sosial pada 18 Mac lalu.

Zul membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Noorhisham Mohd Jaafar. Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: