26 October 2022

PILIH PELAKON ADA PARAS RUPA TERIMA PELBAGAI PANDANGAN - INI ULAS A. AIDA: "PENONTON SENDIRI MAHU..."



"Sejak dulu lagi, watak utama iaitu hero dan heroin memang kena ada rupa paras menarik dan muda. Begitu juga sekarang. Cuma bezanya, apabila mereka sudah berusia dan bukan lagi remaja, kita kena cari pelapis baharu pula. Begitulah seterusnya.


"Nampaknya ramai yang masih kurang faham. Mereka hanya ambil pendekatan terus mengkritik kenyataan saya. Apa yang dimaksudkan adalah untuk watak utama. Itu kriteria yang saya tetapkan, tapi banyak lagi watak lain yang saya tak kisah pun rupa paras, janji berbakat dan pandai berlakon saya akan ambil.

"Saya tidak memandang rendah kepada paras rupa seseorang tetapi jika individu itu mempunyai pakej menarik, ia adalah satu kelebihan. Kepada yang tidak ada pakej pula, peluang untuk mereka tetap ada dan ia bergantung kepada watak yang diwujudkan.

"Sekali lagi ditegaskan, pemilihan watak itu disesuaikan dengan jalan cerita. Kalau naskhah itu watak utama memerlukan pelakon yang tiada rupa, takkan saya nak 'hodohkan' pelakon yang sedia kacak. Nanti penonton bising juga.

"Jadi, kita buat ikut kehendak skrip itu," ujar pelakon dan penerbit, Datuk A. Aida ketika diminta mengulas ketidakpuasan hati sesetengah pihak selepas dia membuka peluang kepada individu yang mempunyai rupa paras cantik dan kacak untuk menjalani uji bakat bagi membintangi drama terbitan syarikatnya, A. Aida Production.

Klik untuk gambar besar



Sejak semalam, hangat diperkatakan apabila A. Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 52, mengatakan bahawa dia kekal dengan pendirian paras rupa tetap menjadi elemen penting menjadi seorang pelakon.

Kenyataan A. Aida itu menerima sindiran daripada pelakon Amerul Affendi yang mencadangkan kesemua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan swasta untuk menamatkan kesemua kursus lakonan kerana ia ibarat 'scam' apabila rupa paras menjadi taruhan.

"Jadi eloklah semua IPTA dan IPTS di seluruh Malaysia menamatkan semua kursus lakonan yang ada. Tak baik 'scam' bakal pelajar yang bersungguh-sungguh berhabis duit mencari ilmu. Kerana bila Ahli Lembaga Pengarah Finas sudah keluar kenyataan begini sudah tentu ramai yang ikut kan?" tulis Amerul.

Perkongsian Amerul itu mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna laman sosial yang bersetuju dengan kenyataan pelakon berkenaan. Kata mereka, tiada guna belajar tinggi-tinggi dalam bidang tersebut jika paras rupa yang lebih menjadi keutamaan dan ukuran untuk bergelar pelakon.



Berhubung sindiran itu, A. Aida mempersoalkan status aktor tersebut, selain berkata kenyataannya itu adalah relevan sering diguna pakai oleh penerbit lain dalam negara termasuk di luar negara.

Bukan itu sahaja, Aida turut menegaskan dia mengutamakan kualiti lakonan setiap pelakon dan mempunyai cara tersendiri supaya pelakon baru dapat menimba ilmu.

Kata Aida lagi, penonton sendiri mahu melihat pelakon yang mempunyai paras rupa dan dia hanya memenuhi permintaan penonton serta itu hakikat yang perlu diterima.

"Saya menggabungkan artis baharu yang kacak, 'sado' dan cantik dengan pelakon hebat lain agar mereka dapat menimba ilmu dan meminta tunjuk ajar. Itu cari saya untuk mencari pelapis yang baharu.



"Saya pun tidaklah hilang akal sampai nak merosakkan karya terbitan sendiri. Dari pengarah, penulis skrip dan semua yang terbabit saya menggunakan khidmat mereka yang terbaik. Itu cara saya menghargai naskhah itu. Terbukti, hasilnya juga bagus hingga menjadi trending, tular dan jumlah penonton tinggi.

"Ini hakikat dan realiti yang perlu diterima semua orang. Penonton sendiri mahu melihat mereka yang lawa. Tapi, sekali lagi ditegaskan, semua itu bergantung kepada jalan cerita. Lain orang, lain pendekatannya dalam menerbitkan sesebuah karya," katanya.

Dalam pada itu, A. Aida berkata, pihak-pihak mengkritiknya tidak perlu menjadi seorang hipokrit kerana mereka sendiri sedar akan hakikat industri yang terpaksa menurut kehendak penonton yang mahukan individu berwajak kacak dan cantik.

Tambah A. Aida lagi, banyak syarikat produksi turut melihat pakej seseorang untuk diambil berlakon kerana ia adalah hakikat yang harus diterima.

"Saya nak tanya ni, ada ke hero dan herion dalam drama kita sekarang ini yang muka tak cantik, tak kacak? Kalau ada tolong senaraikan! Itulah realiti dan hakikat indsutri kita sekarang yang harus diterima. Tapi tak semua orang berani buat kenyataan macam saya ni sebab takut kena cemuh," tuturnya.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: