08 November 2022

KES MUAT NAIK VIDEO SUMBANG - VIDA MENGAKU TIDAK BERSALAH



Di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini, usahawan kontroversi, Dato' Seri Vida mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat dan memulakan video bersifat sumbang pada 29 April 2022.


Menerusi laporan mStar, pengakuan itu dibuat di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman selepas pertuduhannya dibaca oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Vida didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi bersifat sumbang dengan niat menyakitkan hati orang ramai menerusi video dimuat naik di laman Youtube miliknya, DSV Entertainment.

Vida didakwa mengikut Seksyen 223 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.

Tertuduh juga boleh dikenakan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Klik untuk gambar besar



Pada prosiding kes ini, Vida dilihat hadir bersama anak perempuannya, Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin atau lebih dikenali sebagai Cik B pada pukul 9.50 pagi di perkarangan mahkamah.

Hakim Ahmad Fuad menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan kes disambung pada 7 Disember depan untuk serahan dokumen.

Pada Mei lalu, Vida dipanggil ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung video muzik (MV) raya yang mencetuskan kontroversi.

Ia susulan lagu rayanya memaparkan kumpulan penari 'drag queen' sehingga ada yang mendakwa mencemarkan kesucian agama Islam.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: