17 November 2022

"SAYA TAK DAPAT TIDUR DENGAN AMAN..." - AFIEQ SHAZWAN TAK TENANG KEDIAMAN NAIK AIR, TERPAKSA 'TIDUR' DEPAN RUMAH



"Apabila hujan lebat memang rasa tak tenang. Saya ada di rumah ketika itu membuatkan saya sentiasa pantau keadaan air dalam parit berdekatan untuk pastikan ia tidak naik dan melimpah.


"Saya sibuk keluar masuk rumah sebab bimbang air akan masuk ke dalam rumah. Dalam hati hanya berharap dan berdoa agar hujan segera berhenti.

"Saya tak dapat tidur dengan aman jam empat pagi tadi. Ketika jiran rumah sebelah beritahu rumah mereka sudah mula dimasuki air, saya sudah tak senang duduk dan tak boleh tidur.

"Saya jadi fobia dan takut kalau kejadian sebelum ini berlaku. Lagipun hujan turun dengan lebat hingga keliling rumah saya sudah dipenuhi air," jelas penyanyi dan pelakon Afieq Shazwan yang terpaksa 'tidur' depan pintu rumah selepas kawasan rumahnya sudah mula dinaiki air awal pagi tadi.

Hujan yang mencurah di sekitar Selangor lebih dua jam pada malam Rabu telah membuatkan Afieq mengambil langkah berjaga-jaga, apatahlagi pengalaman rumah dinaiki air akibat banjir Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, kata Afieq atau seenarnya Muhammad Shafiq Shazwan Zamros, 25, dia tidak dapat lelapkan mata dan diselubungi rasa cemas, selepas jiran memaklumkan rumah mereka sudah dimasuki air.

Menurutnya lagi, dia yang menetap bersama neneknya di Klang, Selangor bagaimanapun bersyukur apabila rumah mereka selamat dan tidak banjir, cuma kawasan depan rumahnya sahaja sedikit terjejas.

Klik untuk gambar besar



"Alhamdulillah, tidaklah teruk sangat selepas hujan lebat semalam. Hanya kawasan luar rumah sahaja yang dinaiki sedikit air. Sekarang saya sedang bantu ibu untuk kemas kawasan luar rumah sebelum bersiap untuk bekerja.

"Ketika hujan turun dengan lebat malam tadi saya sudah mula mengangkat barang peribadi dan perabot di bahagian bilik dan dapur. Tapi barang-barang yang disimpan di belakang rumah tidak dapat diselamatkan kerana ada yang sudah dihanyutkan air, tapi kami reda dan kemas apa yang patut pagi tadi.

"Apapun saya bersyukur kerana rumah tidak terjejas teruk. Sebenarnya petang semalam saya baru panggil kontraktor untuk bersihkan parit di bahagian rumah saya, jadi mungkin disebabkan itu rumah saya terselamat," katanya.

Tambah Afieq, dia dan keluarga sentiasa dalam keadaan bersedia berdepan musibah banjir memandangkan laporan kaji cuaca semasa meramalkan hujan lebat bakal berlarutan.

"Memanglah berharap tidak berlaku banjir seperti tahun lalu tapi keluarga kami sentiasa bersedia dan reda jika ia berlaku. Tahun lalu banjir berlaku dalam keadaan mengejut dan tak sempat nak buat apa-apa. Kali ini kalau hujan lebat sempat nak selamatkan barang-barang penting," ujarnya.

Afieq sebelum itu turut berkongsi situasi di kawasan perumahannya yang terletak di Klang, Selangor mula dinaiki air sekitar pukul 1 pagi Khamis.

Terdahulu, penyanyi lagu 'Lelaki di Telefon' itu mengaku masih trauma dengan insiden rumahnya di Klang dinaiki air pada Disember tahun lalu.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: