16 January 2023

SUDAH SEDAR - JULIE SUDIRO MASIH DI ICU



Selepas dimasukkan di Hospital Universiti Teknologi MARA (UiTM), Puncak Alam akibat paras oksigen menurun, sejak Isnin lalu, keadaan penyanyi veteran, Datin Paduka Julie Sudiro, 80, dilaporkan semakin stabil.


Bagaimanapun, anak bongsunya iaitu Jose Irmanto Sudiro Soliano, 45, memberitahu ibunya masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital UiTM dan masih memerlukan bantuan pernafasan.

"Emak masih dalam ICU sejak Selasa lalu. Tetapi, semalam saya diberitahu doktor, emak menunjukkan perkembangan positif. Keadaannya lebih baik daripada hari sebelumnya.

"Alhamdulillah, emak sudah sedar dan buka mata, tetapi masih dalam keadaan kritikal kerana belum dicabut saluran 'intubation' untuk membantunya bernafas.

"Tetapi, emak tahu apa yang kami cakap apabila memanggilnya. Namun, agak sukar emak bercakap dengan saluran pernafasan. Itu pun sudah membuatkan kami bersyukur," tuturnya.

Tambah Jose, emaknya ada melakukan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) pada September lalu dan keputusannya tidak berapa bagus. Sehubungan itu, Jose berharap sesiapa sahaja yang mengenali ibunya agar dapat mendoakan kesembuhan dan kesejahteraannya.

"Ketika paras oksigen emak menurun, kami menghubungi paramedik datang ke rumah. Emak diberikan mesin oksigen untuk membantunya bernafas. Tetapi, paras oksigen masih menurun apabila diberikan bantuan mesin.

"Jadi, jalan terbaik menghantar emak ke hospital untuk rawatan lanjut. Alhamdulillah, Hospital UiTM adalah hospital yang sangat bagus, kelengkapan mesin perubatan terbaharu memandangkan hospital ini baru dibuka, pertengahan tahun lalu.

"Emak dirawat oleh enam doktor pakar. Jadi, saya percaya doktor mampu merawat emak dengan baik. Saya mohon peminat atau sesiapa mengenali emak mendoakannya segera sembuh daripada keadaan kritikal," katanya.

Dua tahun lalu, Julie atau nama sebenarnya, Raden Juariah Raden Sudiro dilaporkan menjalani hidup dengan tenang sebagai guru mengaji.

Antara mereka yang menjadi anak murid penyanyi yang terkenal menerusi lagu jazz dan keroncong sejak 1960-an itu Allahyarham Seniwati Mariani, Shasha, Dian P Ramlee dan ramai lagi.


________ IKLAN ________

JUALAN TERBESAR 1.1 TAHUN BARU 2023.. - - Dapatkan pelbagai barangan dengan potongan diskaun KAW KAW dalam jualan 1.1. Tahun baru 2023 mulai 12 malam ini. Jangan terlepas tawaran gilang gemilang yang hanya muncul setahun sekali.












_______ IKLAN _________


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: