17 March 2023

HILANG PENGLIHATAN SEWAKTU BANGUN TIDUR - JUARA 'PILIH KASIH', IQBAL MAZLAN DISERANG PENYAKIT GANJIL



Akibat jangkitan kuman, penglihatannya juara program 'Pilih Kasih' musim pertama iaitu Iqbal Mazlan terjejas dan dia telah dimasukkan ke Hospital Shah Alam, Selangor pada 5 Mac lalu.

Pada awalnya, Iqbal atau nama sebenarnya Muhammad Iqbal Mazlan, 33, menjelaskan, penglihatannya hanya kabur dan fungsi itu hilang sepenuhnya selepas bangun daripada tidur.


"Saya hilang penglihatan sewaktu bangun tidur, saya tidak nampak apa-apa... mulanya saya ingatkan salah tidur, panik juga waktu itu sebab dunia gelap.

"Sebelum itu pada waktu maghrib penglihatan mata saya agak kabur, kemudian esoknya bila bangun tidur penglihatan saya hilang sepenuhnya," jelasnya yang dipetik sebagai berkata kepada mStar.

Sementara itu, Iqbal memberitahu doktor masih lagi menjalankan pemeriksaan lanjut berhubung penyakitnya dan ini merupakan kali pertama kes sedemikian di Malaysia dan berkemungkinan berpunca daripada jangkitan virus.

"Mulanya doktor syak ini penyakit strok mata atau jangkitan kuman biasa tetapi sekarang doktor dapat kesan jangkitan virus, buat masa ni belum tahu lagi virus apa kerana kami sedang menunggu keputusan daripada pakar.

Klik untuk gambar besar



"Penyakit ni agak ganjil dan maklumat tidak banyak jadi mereka terpaksa melakukan pemeriksaan terperinci mengenai penyakit saya ni.

"Jangkitan virus ni agak agresif sebab dia hanya serang bahagian mata sahaja, bahagian badan lain semua okay. Buat masa ini saya dipantau oleh pihak hospital sehingga keputusan ujian darah keluar," ujarnya.

Dalam pada itu, Iqbal turut meluahkan hasrat untuk bertemu dengan idolanya iaitu pelakon Datuk Rosyam Nor.

"Saya teringin sangat nak jumpa abang Rosyam... ramai rakan-rakan lain sudah berjaya dan saya masih di sini. Saya memang teringin nak jumpa abang, kali terakhir berhubung lama dahulu, saya pun dah lupa," tuturnya.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: