17 March 2023

"SAYA KENA KUATKAN HATI & REDA... SAYA BERSYUKUR ALLAH JENTIK HATI UNTUK DEKATKAN DIRI PADA-NYA" - NAS ADILA DISAHKAN HIDAP KANSER PAYUDARA TAHAP TIGA



"Awal tahun lalu saya mula rasa ketulan pada bahagian payudara dan lama-kelamaan ia semakin membesar. Apabila melakukan pemeriksaan melalui sampel saya disahkan kanser dan berkemungkinan tahap tiga.

"Memanglah terkejut apabila doktor maklumkan hal tersebut. Tipu kalau saya katakan tidak sedih, tapi sejak awal lagi saya cuba lawan.


"Saya kena kuatkan hati dan reda dengan ujian Allah ini," tutur penyanyi Nas Adila, 37, yang reda apabila disahkan menghidap kanser payudara sejak awal Mac lalu.

Kata Nas, penyakit itu mula dikesan selepas dia menjalani pemeriksaan doktor di Hospital Selayang, Selangor.

Nas mengakui terkejut apabila menerima perkhabaran itu, bagaimanapun penyanyi ini kuatkan diri dan sentiasa positif berdepan ujian berat ini.

Dalam pada itu, Nas memberitahu, dia akan melakukan ujian CT scan untuk mengetahui tahap sebenar kanser minggu hadapan dan memulakan rawatan kemoterapi.

Klik untuk gambar besar



Di sebalik ujian yang dihadapi ini, Nas juga meluahkan rasa syukur kerana menganggap apa yang berlaku sebagai satu hikmah untuk dia lebih mendekatkan diri dengan Allah.

"Saya percaya setiap ujian itu sebagai tanda Allah masih sayang. Apabila dapat tahu tentang sakit ini, sebenarnya saya bersyukur kerana Allah jentik hati untuk dekatkan diri pada-Nya.

"Setelah jadi begini pastinya saya akan cuba perbaiki diri menjadi lebih baik. Dalam masa sama saya juga lebih prihatin dengan tahap kesihatan selain pengambilan makanan. Saya cuba sebaik mungkin untuk lawan sakit ini," ujarnya.

Tambahnya lagi, keluarga dan orang sekeliling juga memberi sokongan baik ketika dia memaklumkan mengenai perkara ini.

Malah apa yang telah berlaku juga menjadi asbab hubungannya dengan suami lebih akrab.

Meskipun berdepan penyakit berbahaya itu, Nas tetap aktif dengan jadual hariannya termasuk jemputan persembahan pentas dan aktiviti zumba yang sering dilakukan sebelum ini.

"Suami saya sangat tenang menerima berita ini. Dia banyak memberi semangat untuk saya. Hikmah di sebalik apa yang berlaku membuatkan hubungan kami lebih erat.

"Saya banyak merujuk penghidap kanser lain. Mereka juga masih meneruskan aktiviti harian mengikut kemampuan. Jadi saya akan terus aktif dan tidak mahu terlalu memikirkan tentang penyakit ini," katanya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: