22 May 2023

AL- FATIHAH - WAHID SATAY KEMBALI KE RAHMATULLAH



Pagi tadi, seniman legenda iaitu Allahyarham Wahid Satay, 93, dilaporkan telah menghembuskan nafas terakhir di kediaman anak keduanya di Teban Gardens Road, Singapura, selepas tidak bermaya dan hanya terlantar di katil sejak seminggu lalu.
Kata cucunya, Mahirah Mohd Yasin, 38, arwah datuknya menetap dengan ibu bapanya selepas selepas pemergian arwah nenek, Allahyarham Azimah Mohd Taib pada 1994. Dalam masa sama, Mahirah turut menjelaskan arwah datuknya mempunyai penyakit jantung dan diabetes.

"Arwah menghembuskan nafas terakhir di rumah ibu bapa saya kerana menetap bersama kami. Jika diikutkan arwah tidak boleh bangun dan hanya terlantar di katil dalam biliknya sejak seminggu lalu.

"Arwah sempat meraikan Aidilfitri bersama kami, namun kesihatannya merosot selepas beberapa hari menyambut raya. Kami membawa arwah ke hospital, namun dibawa pulang dan dipantau berehat di rumah.

Wahid yang juga bapa kepada enam cahaya mata dan datuk kepada lebih 20 cucu itu disifatkan sebagai seorang yang penyayang.

Ujar Mahirah, dia berterima kasih meskipun arwah datuknya yang disifatkan sebagai seorang yang penyayang ini sudah lama tidak aktif dalam bidang seni, namun masih diingati.

"Terima kasih mengambil tahu mengenai pemergian arwah. Doakan yang baik-baik buat arwah datuk," katanya yang tidak dapat menahan sebak.

Jenazah Allahyarham Wahid yang juga bapa kepada enam cahaya mata dan datuk kepada lebih 20 cucu itu akan dibawa ke Pusara Aman, Singapura pada jam 1 tengah hari untuk dimandikan dan diuruskan pengebumian.

Menjadi sebahagian sejarah kegemilangan filem Melayu klasik antara era 1950-an hingga 1960-an, Wahid atau nama sebenarnya, Abdul Wahid Ahmad terkenal dengan filem terbitan studio Cathay Keris seperti 'Pontianak' pada 1957, 'Sumpah Pontianak' (1958), 'Che Mamat Parang Tumpul' (1960) dan 'Badang' (1962).

Kerjaya lakonannya bermula ketika bekerja di studio sebagai tukang cat sebelum ditawarkan menjadi pelakon tambahan dalam filem 'Pertaruhan' sekitar 1940-an.

Kehebatan Wahid yang boleh meniru suara haiwan seperti ayam dan burung juga satu kelebihan suaranya sering kali digunakan sebagai latar belakang bagi filem tertentu.

         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: