06 May 2023

"KALAU BAKAL MENANTU BERI HANTARAN RM1 PUN SAYA TERIMA" - A AIDA LUAH RASA SYUKUR ANAK SULUNG BAKAL BERNIKAH



Penerbit sensasi, Datuk A Aida atau nama sebenar, Zaidah Awang, meluahkan rasa syukur jodoh anak sulungnya, Wan Az Aleesa, 27, telah terlebih dahulu hadir dalam hidup apabila bakal menamatkan zaman bujang dengan seorang juruterbang bernama Zain Azrai Abdul Aziz.

"Alhamdulillah, nampaknya jodoh Aleesa sudah sampai dan ada yang masuk merisik Aleesa, bulan lalu. Aleesa dan Zain sudah lapan tahun bercinta, tetapi biasalah hubungan putus bersambung semula. Bila saya dapat tahu mereka kembali bercinta, saya minta Aleesa bawa teman lelakinya ke majlis sambutan ulang tahun kelahirannya.


"Secara bergurau saya bertanya kepada Zain bila nak masuk meminang. Tiba-tiba, Zain melahirkan hasrat mahu menyunting Aleesa untuk dijadikan isteri. Masa itu perasaan saya jadi sebak dan sempat toleh ke belakang. Ini kerana saya tidak mahu Zain melihat saya menangis mendengar luahannya itu.

"Aleesa akan menyambung pengajiannya di sebuah universiti di Bogor dalam jurusan veterinar selama empat tahun mulai tahun depan. Sebaik sahaja saya maklumkan perkara itu, Zain bersedia memikul tanggungjawab dan mahu menjaga Aleesa di Bogor. Sekali lagi air mata saya menitis mendengar pengakuan ikhlas Zain," ujarnya yang memberitahu, pada awalnya dia agak berat hati 'melepaskan' Aleesa sambung pengajiannya ke luar negara.

Klik untuk gambar besar



"Selepas berbincang dengan ahli keluarga lain, saya bersetuju untuk menyatukan mereka. Insya-Allah. majlis pertunangan akan diadakan pada 20 Mei ini, manakala majlis akad nikah pula 15 Julai depan. Dua majlis itu diadakan di kediaman saya di Janda Baik, Pahang," katanya yang menyerahkan segala keputusan termasuk soal wang hantaran kepada Aleesa.

"Masa keluarga Zain datang merisik tempoh hari, saya memang tidak bertanya langsung soal wang hantaran. Duit saya sudah ada. Saya cuma mahukan seseorang yang boleh membahagiakan anak saya. Kalau bakal menantu beri hantaran RM1 pun saya terima," ungkap Aida jujur.

Sementara itu, bapa kepada Aleesa iaitu penyanyi Ameng Spring turut memberi restu kepada anak gadisnya ini untuk mendirikan rumah tangga. Untuk makulman, Aleesa dan seorang lagi anak perempuan, Wan Az Evanatassha adalah anak Ameng hasil perkongsian hidup bersama A Aida.






         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: