22 May 2023

PERLU RM20,000 BAIKI KEDAI MUSNAH AKIBAT RIBUT - SHIKIN MAEMBONG BERSYUKUR TIADA PEKERJA CEDERA



"Kedai saya hancur, bahagian belakang kedai saya rosak teruk. Barang banyak ada yang dekat dalam tapi nasihat pihak Bomba untuk tidak ambil barang itu. Mereka kata kalau kita ambil bimbang tiang akan runtuh.
"Banyak barang rosak macam peti ais... peti ais beku untuk simpan barang pun rosak. Tapi ada juga barang yang dapat diselamatkan. Saya masih dekat Taiping dan pun belum tengok tempat kejadian tapi ada pekerja kedai sebelah beritahu dan hantar keadaan kedai pada saya.

"Anggaran kos kira-kira dalam RM15,000 hingga RM20,000 untuk baiki segala kerosakkan," jelas kakak kepada pelakon Emma Maembong iaitu Shikin Maembong yang berdepan ujian hebat apabila kedai Cekopis miliknya yang terletak di Desa Pandan Kuala Lumpur mushah akibat ribut pada Jumaat lalu.

Jelas Shikin atau nama sebenarnya Siti Nur'Ashikin Ismail, 40, kerosakan yang berlaku menyebabkan dia mengalami kerugian besar dan memerlukan modal RM20,000 untuk membaikinya, namun bersyukur tiada pekerjanya yang tercedera.

Klik untuk gambar besar
Bercerita lebih lanjut, Shikin berkata, ketika menerima khabar tersebut, dia menangis di depan kekasihnya yang juga penyanyi dan komposer iaitu Cat Farish kerana bimbang dengan keadaan kedainya yang musnah.

Bagaimanapun, Shikin bersyukur apabila Cat berjanji untuk mengharungi kesusahan itu bersama-samanya sehingga semuanya selesai.

"Masa hari kejadian itu, saya sebenarnya menangis tengah malam. Hati tak tenang sebab saya tak ada dekat Kuala Lumpur. Saya fikirkan barang-barang dekat dalam kedai itu macam mana dan risau.
"Tapi yang meredakan saya waktu itu adalah Abang Cat. Saya menangis depan dia dan dia pun dia pun tenangkan saya. Dia kata nak harung sama-sama, kalau dulu sorang-sorang mungkin tak terurus semuanya. Saya pun lebih tenang disebabkan dia," tuturnya.

Dalam pada itu, ibu kepada seorang cahaya mata ini memberitahu bahawa kedainya bakal berpindah di kawasan yang lebih selamat untuk sementara waktu, selepas pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan kawasan berkenaan mengambil masa dua bulan untuk dibaiki.

"Kami pun akan berpindah ke lokasi baharu sebab kedai di situ akan ambil masa dua bulan untuk kembali pulih sepenuhnya. Jadi saya akan berniaga di kedai kawan saya di Melawati untuk sementara waktu," ujar Shikin yang sebelum ini memuat naik sebuah video yang memaparkan keadaan kedainya musnah akibat ribut yang melanda Kuala Lumpur baru-baru ini.

         _______________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: