26 August 2023

DIKURNIAKAN GELARAN DATUK - S ATAN SIFATKAN SEBAGAI HADIAH HARI LAHIR KE-74



"Saya tidak pernah mengharap atau menjangka dikurniakan gelaran Datuk, apatah lagi, pada usia 74 tahun. Ketika mula diberitahu mengenai kurniaan darjah kebesaran ini, kira-kira sebulan lalu, saya tidak mahu terlalu memikirkannya.
"Saya terharu dengan pengiktirafan ini. Saya anggap ini adalah hadiah hari jadi saya yang ke-74 pada 1 Ogos lalu," kata Maestro muzik, S Atan yang menyifatkan kurniaan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) membawa gelaran Datuk pada sambutan Hari Lahir Ke-74, Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, hari ini, sebagai hadiah sempena ulang tahun kelahirannya, pada 1 Ogos lalu.

Pada majlis tersebut, S Atan atau nama sebenarnya, Hashim Said, menjadi satu-satunya penggiat seni yang menerima darjah kebesaran. Dalam pada itu, beliau yang terharu dengan kurniaan itu, tidak menyangka dikurniakan gelaran tersebut pada usia 74 tahun.

Ditanya apakah gelaran itu menjadi pembakar semangat untuk terus berkarya, komposer yang banyak menghasilkan lagu raya malar segar ini menjelaskan, beliau bekerja atas cinta kepada seni, bukan kerana anugerah.

Klik untuk gambar besar
"Sama ada dapat anugerah atau tidak, saya tetap berkarya kerana muzik sudah menjadi darah daging saya," jelas bapa saudara kepada komposer Datuk Ramli MS ini.

Untuk info, S Atan cukup terkenal dengan sentuhan lagu Melayu Deli yang dirakam penyanyi popular seperti Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Noor Kumalasari, Herman Tino dan Zaleha Hamid.

Antara lagu raya popular malar segar ciptaannya adalah 'Menjelang Hari Raya' dendangan Datuk DJ Dave; 'Dari Jauh Ku Pohon Maaf' (Sudirman); 'Cahaya Aidilfitri' (Black Dog Bone); 'Salam Aidilfitri' (Datuk Jamal Abdillah); 'Hari Mulia' (Datuk Sheila Majid) dan 'Indah Beraya Di Desa' (Azlina Aziz).

         ________________________

JOM LAWAT FACEBOOK TERBARU KAMI :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: