30 September 2023

MAWI KESAL BERITA PALSU BABITKAN RUMAH TANGGA, TAK TERAGAK-AGAK AMBIL TINDAKAN SAMAN



"Mereka sangat melampau. Hubungan kami suami isteri baik-baik sahaja dan apa yang terpapar itu adalah fitnah semata-mata," ujar penyanyi dan penyampai radio Zayan, Mawi yang melahirkan perasaan kesal dengan penyebaran berita palsu membabitkan rumah tangganya.
Kata bekas juara Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) itu, berita yang tersebar di platform digital dan media sosial ini sekali gus menimbulkan persepsi buruk ramai pihak terhadapnya dan isteri, Ekin.

Malah tambah Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 42, berita ini direka oleh peniaga atas talian dan tujuannya untuk menjual produk barangan.

"Ia semata-mata mahu menarik perhatian orang ramai dan sangat melampau. Tajuk begini digunakan untuk buat orang terpanggil tekan (klik) pautan berita itu.

"Mereka yang kendalikan portal ini sebenarnya berniaga menjual produk. Jadi mereka sengaja meletakkan tajuk sensasi sebegitu untuk menarik perhatian pembaca," katanya.

Klik untuk gambar besar
Mawi yang popular dengan lagu 'Aduh Saleha' itu berkata, tindakan mereka yang sering menggunakan selebriti untuk tujuan ini amat dikesali.

"Saya rasa perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku. Nak berniaga biarlah dengan cara yang bersih. Ia bukan amalan yang sihat.

"Isteri saya Ekin (Nora'Asikin Rahmat) memang agak terganggu dengan berita palsu itu terutamanya apabila diajukan pertanyaan oleh ramai pihak.

"Bila ramai yang kongsi dan bertanyakan tentang berita itu, sudah tentu isteri terkejut. Sedikit sebanyak emosinya terganggu juga," tuturnya.
Mengulas tindakan yang bakal dilakukan, Mawi berkata, dia dan isterinya tidak teragak-agak membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pengendali portal yang menyebarkan berita palsu itu.

"Kami ada berbincang untuk tindakan lanjut termasuk menyaman pihak tidak bertanggungjawab terbabit.

"Ia perlu untuk beri pengajaran kepada mereka agar tidak sewenang-wenangnya menyebarkan berita palsu. Jika tidak, perkara ini akan terus berleluasa dan berterusan tanpa ada kesudahan," jelas Mawi.

Sementara itu, pasangan ini juga berkongsi tajuk berita beberapa portal dalam Facebook yang memberi bayangan seolah-olah rumah tangga mereka retak menanti belah.

Ekin yang sangat terkesan, meluahkan kemarahannya dengan memberi amaran terhadap portal terbabit : "Ini sudah melampau! Selidik dahulu sebelum mahu kejar glamor. Nanti tak pasal-pasal kena saman!"

         ________________________

JOM LAWAT FACEBOOK TERBARU KAMI :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: