17 September 2023

SEBULAN BERCERAI - FARID KAMIL & DIANA DANIELLE AKAN KE MAHKAMAH, URUS PROSES RUJUK



"Kami akan ke mahkamah secepat mungkin tetapi semua itu perlu dilakukan mengikut proses dan tidaklah tergesa-gesa kerana masih dalam tempoh idah. Kami juga masih ada masa.
"Bukan saya tidak mahu umum rujuk tapi perkara ini membabitkan proses mahkamah," jelas pelakon Diana Danielle yang memaklumkan, dia dan pelakon Farid Kamil akan ke Mahkamah Syariah untuk menyelesaikan urusan rujuk semula itu secepat mungkin.

Kata-kata tersebut sekaligus menjawab spekulasi pasangan itu bakal rujuk semula seperti yang tersebar ketika ini.

Mengenai perancangan untuk rujuk semula itu, Diana memaklumkan, mereka kini masih dalam fasa untuk memperbaiki diri serta mencari jalan terbaik untuk rumah tangga mereka pada masa akan datang.

Klik untuk gambar besar
"Kami juga tidak pernah berhenti berdoa untuk hubungan ini. Kami juga tidak tahu ini pengakhirannya kerana semua sudah ketentuan Allah S.W.T

"Sekarang ini kami masih dalam fasa mencari jalan terbaik untuk masa depan. Kami mahu membina kembali yang pernah ada sebelum ini.

"Tetapi saya tidak mahu terlalu bercakap mengenai perkara ini kerana perlu ada privasi dalam hubungan kami," kata Diana yang mengharapkan hubungannya dengan Farid akan terus berkekalan demi kebaikan dua cahaya mata mereka.
Tambah Diana atau nama penuhnya, Diana Danielle Danny Beeson, 32, dia sangat gembira kerana Farid akan terus menjadi bapa terbaik buat anak-anak mereka.

"Saya membesar tanpa kasih sayang bapa. Justeru, saya tidak mahu anak-anak lalui perkara sama. Apa yang penting anak-anak mendapat kasih sayang seorang bapa. Itu adalah hadiah terbaik buat saya," tuturnya.

Farid dan Diana ditemui media ketika Karnival Mega Suria yang berlangsung di Padang Timur, Majlis Badaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, petang semalam.
Dalam karnival tersebut, Farid atau Farid Kamil Zahri, 42, dilihat tidak dapat bercakap ketika hadir menemani isterinya itu kerana masalah kehilangan suara dihidapi sejak beberapa hari lalu.

Namun, Farid sempat berbisik ke telinga Diana memberitahu, mereka tidak berhenti berdoa agar bertemu penyelesaian terbaik berikutan kemelut rumah tangga sebelum ini.

Untuk makluman, Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.

Bagaimanapun, mereka mengejutkan ramai apabila sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor pada 10 Ogos lalu.

         ________________________

JOM LAWAT FACEBOOK TERBARU KAMI :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: