18 November 2023

HUKUMAN PEMBUN*H DIPINDA - INI REAKSI BAPA ALONG SPOON, ANGGOTA KUMPULAN SPOON



Semua sedia maklum, pada Khamis lalu, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan untuk meminda hukuman terhadap bekas anggota polis, Mohamed Ya'acob Demyati yang disabitkan bersalah atas tuduhan membun*h penyanyi Along Spoon atau nama sebenarnya, Sabi'ul Malik Shafie pada 26 Disember 1999.
Berhubung keputusan itu, bapa kepada Along Spoon iaitu Tengku Syafie Tengku Yusuf atau lebih mesra disapa Pak Engku berkata, tiada apa yang mahu diperkatakan selepas mendapat tahu hukuman penjara seumur hidup yang dikenakan dipendekkan kepada 33 tahun terhadap bekas anggota polis, Mohamed Ya'acob Demyati.

"Kalau komen berkenaan perkara itu (keputusan mahkamah), saya tidak mahu ditemu bual. Maafkan saya. Saya tidak mahu beri ulasan berkenaan perkara itu," ujarnya.

Sementara itu, tiga anggota kumpulan Spoon iaitu Shanaz (dram), Boy (gitar utama) dan Norul Fikri (gitar kedua) pula menerima dengan hati terbuka berita pembebasan pembun*h Along Spoon.

Klik untuk gambar besar
Walaupun berdepan detik sukar dalam karier selepas kem@tian mengejut Along Spoon, mereka menghormati keputusan sebulat suara panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang membebaskan Mohd Ya'cob, kelmarin.

Kata Shanaz, perasaannya amat sedih apabila Along Spoon hilang secara tiba-tiba. Ditambah pula kontrak mereka bersama syarikat rakaman tamat selepas itu.

"Kami hanya sempat hasilkan dua album berjudul 'Spoon' dan 'Kembali Merindu' dengan Childplay Music Productions yang dipasarkan menerusi Life Records

"Selepas itu kami menyertai Spoon Production & Entertainment di bawah bapa Along Spoon, Pak Engku yang bekerjasama dengan Nova Music untuk album ketiga yang menampilkan Azlong. Sejak itu hubungan kami dengan keluarga Along sangat rapat.
"Tak dinafikan kami dapat lihat dan rasa kesedihan mereka. Apapun semalam mahkamah dah putuskan begitu dan kita kena terima," tuturnya yang turut berkata, keputusan ini mungkin berat untuk diterima oleh keluarga Along Spoon, tetapi Ya'cob sudah lama menerima hukuman merengkok dalam penjara.

Dalam pada itu, Boy pula menyifatkan keputusan mahkamah itu yang terbaik, Allah sudah aturkan dalam kes terbabit.

"Saya yakinlah. Ada sebab-sebabnya. Kita pun tak tahu apa berlaku dan dia (Ya'cob) pun dah terima hukuman. Mungkin orang kata tidaklah sampai ke tali gantung, tapi kita tak tahu apa yang berlaku dekat dalam (penjara) itu.

"Sejauh mana dia insaf dan hubungan dia dengan Allah, kita tak tahu. Sebab macam manapun kejadian-kejadian itu bagi saya adalah kuasa Allah. Di samping saya menghormati keputusan, itu semua ketentuan Allah juga.
"Selepas kem@tian arwah, dah tentu kami bergelut. Waktu kejadian dulu kami dalam keadaan panik, dalam keadaan tak tahu apa berlaku. Kenapa jadi begitu dan sebabnya. Masing-masing tengah muda, kabur," katanya yang meneruskan kerjaya muzik dengan bermain di kelab selepas itu.

Selain Shanaz dan Boy, Norul Fikri turut menyifatkan segala yang sudah berlaku adalah ketentuan Tuhan dan tidak perlu dipertikaikan lagi.

"Hanya Dia yang mengetahui. Baik dan buruk datang dari Allah SWT. Ada hikmah apa yang berlaku. Saya doakan yang baik sahaja. Semasa kejadian itu, saya masih belajar. Selepas itu, Alhamdulilah saya teruskan belajar. Jadi saya tak rasa sangat apa yang terjadi," jelasnya.

Kelmarin, Mohd Ya'cob dibebaskan dari Penjara Kajang selepas selesai menjalani hukuman penjara 33 tahun.

         ________________________

JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: