24 December 2023

ANAK MUSTAPHA KAMAL, SABELLA BERJAYA DAPAT IJAZAH DI UNIVERSITI MALAYA



"Alhamdulilah, saya dan isteri sangat bersyukur kepada Allah atas anugerah ini. Semuanya berkat doa kami dan Sabella sendiri yang berusaha tanpa jemu dan pastinya ia berlaku dengan izin Allah."
Itulah kata pelakon Datuk Mustapha Kamal, 61, yang bersyukur dengan pencapaian anak sulungnya, Sabella Qawiema, 24, yang berjaya mendapat Ijazah Sarjana Muda Bahasa Itali dan Linguistik, Kelas Pertama di Universiti Malaya (UM), baru-baru ini.

Jelas Mustapha, dia dan isterinya iaitu Datin Susan Manen, 49, bangga dengan Sabella kerana berjaya merealisasikan impian mereka untuk menggenggam ijazah kelas pertama itu.

Klik untuk gambar besar
Tambahnya lagi, sebagai bapa, dia sentiasa memberi dorongan kepada Sabella dalam pelajaran serta berjaya mengejar cita-citanya.

"Kejayaan yang paling besar adalah ibu bapa yang berjaya mendidik anak-anak menjadi insan berguna di dunia dan akhirat. Juga tidak lupa kepada pensyarah di UM yang banyak mengajar dan membantu Sabella dalam pelajaran," ujarnya.

Bagaimanapun, kata Mustapha, isterinya itu yang banyak membantu dan mengawasi pendidikan anak-anaknya ketika dia sibuk dengan perniagaan dan di lokasi penggambaran.
"Sabella pernah menangis dan memberitahu 'mummynya' terutama ketika berdepan kesukaran untuk menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaraan Malaysia sebelum ini.

"Namun, usaha dan motivasi yang diberikan ibunya itu berjaya memujuk Sabella untuk meneruskan pelajarannya," tutur pelakon yang dikenali dengan jolokan 'Papa Megah Holdings' ini.

Sementara itu, isteri Mustapha berkata, Sabella seorang anak yang sangat cerdik dan berdisiplin serta tidak mementingkan diri sendiri
"Sebagai anak sulung, dia seorang yang bertanggungjawab, rajin dan mempunyai hati yang sangat mulia," jelasnya.

Sementara itu, anak perempuan Mustapha juga memberitahu, sebelum menyambung pengajiannya pada masa depan, dia ingin bekerja terlebih dulu.

Dalam pada itu, menurut Sabella, dia juga meminati bidang lakonan dan mahu mengikut jejak kedua ibu bapanya menjadi anak seni.
"Saya sudah terbabit dalam iklan komersil membabitkan pelbagai jenama sejak kecil. Terbaru, saya buat iklan satu produk bersama ibu bapa.

"Selain itu, saya juga pernah berlakon dalam beberapa drama termasuk filem tagalog 'Miss You Like Crazy' bersama Bea Alonzo dan Datuk Hans Isaac sebelum ini. Jadi, jika ada tawaran iklan mahupun lakonan, saya sedia untuk berlakon," katanya.

Mustapha dan Susan turut berkongsi mengenai kejayaan anak sulung mereka yang menggenggam ijazah kelas pertama di UM menerusi Instagram, dimana ia turut mencuri perhatian netizen di media sosial.
Susan juga sempat bergurau menerusi satu hantaran foto Sabella yang memakai jubah konvokesyen dengan mendakwa gadis berusia 24 tahun itu merupakan pewaris kepada syarikat Megah Holding.

"Tahniah Sabell, kami sayang kamu!. Ni baru anak sulung pewaris Megah Holding," tulisnya

Selain Sabella, Mustapha dan Susan juga dikurniakan tiga lagi cahaya mata iaitu Aulia Qayyiem, Naqli Qaddiem dan Salsabil Qur'ani.

         ________________________

JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: