19 December 2023

SELAMAT DIKEBUMIKAN : "ATUK MINTA MAAF BERITAHU NAK PERGI DAH" - CUCU ARWAH M DAUD KILAU



Di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Balai Baroh, di sini, jenazah penyanyi legenda Allahyarham Datuk M Daud Kilau telah pun selamat dikebumikan, hari ini.
Sebelumnya, jenazah Allahyarham tiba di Masjid Tuminah Hamidi pada jam 9.17 pagi dan disolat oleh hampir 400 jemaah diketuai Imam Zulfadil Ismail selepas solat Zohor.

Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan berkenaan apabila kira-kira 200 orang hadir termasuk ahli keluarga, penduduk setempat, rakan artis dan peminat yang datang memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Sementara itu, Norhasliyana Hassan, 33, berkata, dia tidak menyangka perbualannya dengan Allahyarham Datuk M Daud Kilau kelmarin yang memintanya menguruskan jenazahnya dengan baik adalah yang terakhir.

Tambah cucunya, arwah M Daud Kilau sempat berpesan supaya jenazahnya dimandi dan dikafankan dengan baik andai tiba masanya.

"Atuk beritahu beliau akan pergi. Atuk sempat berpesan jenazahnya dimandikan baik-baik. Saya hanya mendengarnya tetapi tidak terlalu memberi perhatian sebab beranggapan dia sedang mamai. Atuk minta maaf beritahu nak pergi dah," tuturnya.

Klik untuk gambar besar
Jelas Norhasliyana itu lagi, kesihatan arwah M Daud yang rapat dengan semua sembilan cucunya itu mula merosot sejak Mac lalu dan memburuk sejak awal bulan ini.

"Kadang-kadang apabila atuk menelefon, dia selalu tanya 'cucu atuk buat apa?'. Lepas tu dia nyanyi lagu Cek Mek Molek pada saya.

"Kenangan ini saya mesti rindu nak dengar dan lihat senyuman dia semula sebab sejak beliau dimasukkan ke hospital 12 Disember lalu, dia sudah tak senyum, hanya beri respon yang sangat minimum.

"Saya pulang ke Kuala Lumpur (KL) kelmarin sebab doktor beritahu keadaannya sudah stabil dan kami ingat akan teruskan dengan pembedahan kaki yang sepatutnya dijalankan semalam, tapi apabila saya sampai KL keadaannya dilaporkan semakin merosot," katanya sebak.

Norhasliyana berkata, ahli keluarga reda dengan pemergian Allahyarham M Daud Kilau kerana tidak mahu terus melihat insan disayangi mereka itu terus menderita.

Untuk pengetahuan, arwah M Daud Kilau meninggal dunia pada usia 85 tahun akibat jangkitan kuman dalam darah, ketika sedang menerima rawatan di Hospital Teluk Intan (HTI) pada 4.46 petang semalam.

         ________________________

JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: