02 January 2024

AZLEE ANGGAP HAMDAN DITIDURKAN SEBAGAI UJIAN



"Ini semua ujian, kami hanya mampu berdoa dan mengharapkan doa semua rakyat Malaysia supaya Hamdan segera sembuh dan sihat."
Demikian kata anggota kumpulan Senario, Azlee Jaafar 54, yang mengakui, apa yang berlaku terhadap rakannya, Hamdan Ramli, 54, adalah ujian dan berharap rakyat negara ini mendoakan kesihatan beliau.

Kelmarin, anggota kumpulan Senario, Hamdan Ramli, 54, terpaksa ditidurkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru selepas disahkan mengalami jangkitan kuman dalam darah.

"Semalam (kelmarin - 31 Disember) genap ulang tahun ke-27 kumpulan Senario, tempoh yang panjang kami bersama seperti adik-beradik.

"Tahun ini kami merancang membuat penggambaran Senario Legend, justeru perkhabaran Hamdan ditidurkan cukup menyedihkan kami," tutur Azlee ketika ditemui di pekarangan lobi HSA bersama anggota Senario yang lain, Pak Ya, Yassin dan Apek.

Bercerita lanjut, Azlee berkata, sebelum Hamdan ditidurkan, mereka ada berkumpul pada malam 31 Disember lalu menjelang Showcase Senariounion di Hotel Sentral, di sini.

Jelas Azlee lagi, Hamdan ketika itu berbual seperti biasa dengan anggota Senario yang lain, malah kelihatan sihat dan ceria.

"Hamdan begitu ceria dan gembira sebab malam esoknya (kelmarin), kita nak buat countdown (detik pengiraan) 31 Disember (menjelang tahun Baharu).

"Bagaimanapun, pagi semalam (kelmarin) Hamdan tidak turun sarapan (di hotel) kerana demam. Saya beritahu ahli Senario lain, biarkan Hamdan berehat.

"Saya ada bercakap dengan Hamdan supaya tenang dahulu, biarkan saya dan anggota (Senario) lain berlatih (untuk persembahan Showcase Senariounion).

"Kira-kira 5 petang semalam (kelmarin), Hamdan dilaporkan kritikal dan dimasukkan ke HSA," ujarnya yang turut memaklumkan mereka terpaksa meneruskan persembahan Showcase Senariounion malam tadi tanpa Hamdan.

Sementara itu, Pak Ya atau nama sebenarnya Illya Buang, 45, berkata, ketika bertemu Hamdan sebelum itu, air mukanya tidak menampakkan beliau sakit.

"Kami tahu Hamdan tidak sakit, tetapi tidak tahu sekiranya Hamdan ada menyorokkan sakitnya daripada kami. Hamdan tiada saudara-mara di Johor, mereka mengharapkan kami.

"Saya harap ada pihak yang sudi membantu memudahkan urusan keluarga Hamdan di sini. Saya memohon peminat dan semua rakyat Malaysia doakan Hamdan segera sembuh seperti biasa," katanya.

         ________________________

JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: