Tiada angin tiada ribut, tup tup penyanyi Sarah Suhairi, 24, kini telah pun selamat bergelar isteri kepada jejaka pilihannya yang juga pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) iaitu Aswad Anuar pada jam 8.30 pagi tadi di sebuah lokasi, di sini.
Pasangan itu dinikahkan oleh bapa Sarah, Suhairi Hamdan di hadapan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Ahmad Khaliq Md Rasid.
Dalam pada itu, Sarah turut mendedahkan suaminya itu pernah mendirikan rumah tangga dan memiliki tiga cahaya mata perempuan.
Jelas Sarah, status Aswad sebagai duda anak tiga bukan hal@ngan untuk mereka berkenalan, sekali gus mendirikan rumah tangga.
Difahamkan, Aswad pernah mendirikan rumah tangga pada 2008, namun bercerai pada 2019. Hasil perkahwinan itu, Aswad dikurniakan tiga cahaya mata berusia antara 14, 10 dan 8 tahun.
"Ketika perkenalan kami, Aswad sudah setahun bergelar bapa tunggal dan kami tak pernah meletakkan sebarang status sepanjang empat tahun berkenalan.
"Tetapi saya sudah berjumpa dengan tiga puterinya yang menerima baik kehadiran saya dalam hidup mereka. Bahkan, kawan-kawan rapat saya pun sudah bertemu dengan anak-anak Aswad.
"Saya tak kisah menjadi ibu 'segera'. Sebelum ini mereka panggil saya 'auntie Sarah', mungkin selepas ini panggil saya dengan panggilan ibu," ujar Sarah yang berkongsi perkara itu usai majlis pernikahan mereka yang berlangsung hari ini.
Selain itu, ditanya pula mengenai detik perkenalan mereka, Sarah berkata, cinta mereka mula berputik di Pusat Ekuisterian Bukit Kiara selepas masing-masing meminati sukan berkuda.
"Selain bergelar pensyarah, Aswad juga adalah seorang jurulatih sukan berkuda dan kerap dipanggil menjadi juri. Saya pula sudah aktif sukan berkuda sejak usia 14 tahun.
Klik untuk gambar besar
"Kelompok kawan kami juga adalah orang yang sama. Jadi dari situlah detik perkenalan bermula. Sepanjang empat tahun kami berkawan, hubungan kami bukan satu rahsia kerana Aswad sering menemani saya ke majlis-majlis tertentu.
"Cuma dia tidak menonjolkan diri sangat kerana selagi belum ada ikatan sah, lebih baik simpan sendiri saja," jelasnya.
Majlis pernikahan yang diadakan secara sederhana dengan bertemakan putih itu menyaksikan Sarah menerima mas kahwin berupa seutas gelang emas bernilai RM2,486, sementara jumlah hantaran pula tidak dikongsikan.
Dalam majlis tersebut, pengantin lelaki itu memberi lima dulang hantaran, manakala pengantin perempuan menyerahkan tujuh dulang hantaran.
Kira-kira 200 tetamu menjadi saksi ikatan pernikahan pasangan itu yang dihadiri oleh ahli keluarga, saudara-mara, rakan selebriti dan media.
Antara rakan artis yang hadir meraikan pasangan mempelai termasuk Naim Daniel, Afieq Shazwan, Wani Kayrie, Sissy Iman dan Shaffiq Erwin.
Sebelum ini, Sarah tidak pernah mendedahkan mengenai hubungan istimewa mereka kepada umum.
Bagaimanapun pasangan itu sudah melangsungkan majlis pertunangan pada 27 Januari lalu.
Kedua-dua mereka dikhabarkan mula berkenalan pada 2020 dan mempunyai minat yang sama iaitu sukan berkuda.
________________________
JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!

No comments:
Post a Comment